21 Mei, Bangi – PEMBINA tidak melepaskan peluang untuk turut serta memeriahkan penganjuran Konvensyen Pemerkasaan Belia Negara 2014 (NYCON ’14) yang telah diadakan pada 15 Mei yang lalu bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya dengan tema “Pengantarabangsaan Belia Malaysia”. Konvensyen ini dianjurkan oleh Kementerian Belia & Sukan Malaysia dan Majlis Belia Malaysia.
Wakil tunggal PEMBINA ke konvensyen berkenaan, Muhammad Farhan Nasri Hamdan, yang juga merupakan JK Perhubungan Luar PEMBINA berkata, penganjuran program seumpama ini sangat baik dalam memberi gambaran jelas halatuju belia Malaysia dan wajar dianjurkan lagi di masa hadapan.
Tambah beliau lagi, program seperti ini dapat membantu badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan belia membina jaringan sesama mereka dan memberi penghargaan kepada persatuan yang telah menonjolkan prestasi yang cemerlang dalam gerak kerja dan sumbangan mereka terhadap masyarakat setempat.
Konvensyen ini telah dihadiri oleh 1,000 orang belia dari seluruh negara. Dua tajuk yang telah dibincangkan di dalam konvensyen ini adalah ‘Pengantarabangsaan Belia Malaysia: Mendepani Realiti 2020′ yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Haslinda Hj. Abdullah dari Institut Penyelidikan Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ‘Cabaran Global Belia Pasca 2015’ yang telah disampaikan oleh Rushdi Abdul Rahim dari Malaysian Foresight Institute (myForesight) bersama Tuan Hj. Ahmad Azam Ab Rahman, Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) yang juga aktif memimpin Kesatuan NGO Dunia Islam – Union NGOs of The Islamic World (UNIW).
Perasmian konvensyen ini telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak. YAB Perdana Menteri di dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa generasi belia hari ini merupakan pemimpin negara di masa akan datang. Beliau turut membangkitkan keperluan untuk generasi belia mengamalkan kesederhanaan dan menjauhi fahaman ekstremis atau melampau, selain belia perlu mempunyai kualiti keilmuan dan kemahiran, keusahawanan, kesukarelaan, kecintaan kepada negara, serta kerohanian sebagai nilai tambah. Beliau turut menjadikan kejayaan Korea Selatan dan Jepun sebagai contoh yang baik kepada golongan belia di Malaysia dalam membina ‘modal intelek’ (intellectual capital) menerusi idea yang kreatif dan inovatif.