Delegasi PEMBINA tampil sebagai suara belia dan mahasiswa di Majlis Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu 2012

Kuala Lumpur, 15 Mac 2012- “Tiada tamadun yang boleh maju dengan bahasa pasar, semua tamadun mempunyai bahasa rasmi yang tersendiri,” begitulah kata-kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Dr. Haji Awang Bin Sariyan dalam Majlis Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu 2012.

Delegasi PEMBINA yang diketuai oleh Saudari Nurnaima binti Zainuddin, JK Media Pusat bersama empat lagi ahli PEMBINA yang terdiri Khairul Nizam bin Hasnol, Muhammad Azrul bin Rusli, Zubaidah bt Abd Rahim dan Nurul Husna binti Zulkurnain. Kesemua ahli PEMBINA terdiri daripada kalangan mahasiswa telah menghadiri dua sesi muzakarah iaitu sesi muzakarah untuk kelompok Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Belia, Seniman dan Karyawan di sebelah pagi dan sesi muzakarah untuk kelompok keagamaan di sebelah petang bertujuan untuk memberikan saranan, pandangan dalam usaha memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu.

Antara saranan dan pandangan yang disampaikan oleh delegasi PEMBINA adalah

1)      Sesi muzakarah untuk kelompok Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Belia, Seniman dan Karyawan

a) Dalam mencapai misi PEMBINA yang menekankan potensi belia atau mahasiswa ke arah lebih positif, delegasi mencadangkan potensi belia dan mahasiswa contohnya dalam bidang Teknologi dan Sains Maklumat dimanfaatkan untuk melakukan penambahbaikan dalam laman penterjemahan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.  

b) Sebagai contoh, aktivis PEMBINA amat diberikan penekanan dalam pemerkasaan Bahasa Melayu melalui penulisan artikel dan penulisan ilmiah dalam mengupas isu-isu semasa dan isu-isu nasional.

c) Selain itu, PEMBINA menekankan bahawa setiap penulisan yang berilmiah itu haruslah mempunyai sokongan kajian yang berilmiah juga. Dalam menghasilkan kajian-kajian ilmiah yang bermutu, PEMBINA juga mempunyai Jawatankuasa Informasi dan Kajian.

d) PEMBINA mencadangkan agar DBP menguar-uarkan ruang karya dan menulis bagi belia khususnya mahasasiwa untuk dipromosikan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana kelihatan pentas ini belum wujud lagi. Respon dari Dato’ Dr. Haji Awang bin Sariyan, pihak DBP menggalakkan penghantaran karya dalam salah satu laman sesawang DBP, e-Coret.

2)      Sesi muzakarah untuk kelompok keagamaan

a) Dalam mencapai misi PEMBINA yang membangunkan jatidiri belia berlandaskan kefahaman Islam yang syumul, PEMBINA mencadangkan DBP membuat penulisan yang mengambarkan kehebatan dan kecantikan budaya orang Melayu dahulu yang sangat dekat dengan Islam dalam semua aspek.

b) PEMBINA menyokong sepenuhnya usaha DBP dalam memartabatkan Bahasa Melayu dan menyeru agar golongan belia dan mahasiswa bersama-sama untuk memartabatkan Bahasa Melayu dengan menyalurkan potensi yang sedia ada.

Delegasi PEMBINA juga berpeluang membincangkan beberapa isu bersama-sama dengan Tuan Haji Abd. Khalik Sulaiman, Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Puan Sa’odah Haji Abdullah, Setiausaha Kehormat Persatuan Penterjemahan Malaysia. Antara isu yang dibincangkan adalah isu realiti Bahasa Melayu pada masa kini, tingkah laku golongan muda masa kini dan bagaimana untuk memperbanyakkan penulisan ilmiah di kalangan mahasiswa.

Lebih menarik, Tuan Haji Abd. Khalik Sulaiman ingin memberikan program bengkel latihan penulisan yang berterusan untuk ahli PEMBINA yang berminat dalam membuat penulisan ilmiah. Menurut Tuan Haji Abd. Khalid lagi, pihak DBP kini mahu lebih banyak menghasilkan penulisan ilmiah dalam bidang sains dan teknologi, sains fizik, sains matematik dan lain-lain.

PEMBINA juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datu Dr. Adi Badiozaman @ Badio Zaman bin Tuah, Ahli lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka kerana telah menjemput PEMBINA untuk menghadiri sesi muzakarah keagamaan di sebelah petang. Pelbagai ilmu yang diperolehi akan dimanfaatkan dalam memartabatkan Bahasa Melayu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top