Isu Remaja kini : Ibu Bapa perlu lebih Waspada

Saat kisah pembunuhan kejam adik Dirang masih lagi kedengaran di bibir-bibir masyarakat, kita dikejutkan pula dengan kes culik remaja Siti Nur Fatiha, 15 tahun yang berasal dari Kuantan dipercayai diculik oleh dua lelaki dan seorang wanita yang tidak dikenali pada 18 Mac 2012.

Tetapi hal ini telah disahkan bahawa kehilangan adik Fatiha adalah disebabkan  lari bersama kekasihnya.

Menurut statistik di PDRM yang lepas, 6,270 kes dicatatkan sejak 2004 hingga tahun 2007.

 

Paling mengejutkan, mengikut statistik orang hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM), ada kes mengikut teman lelaki membabitkan remaja perempuan seawal usia 10 tahun, manakala peringkat umur 14 dan 17 tahun adalah paling ramai terbabit iaitu 4,097 orang.

Perkembangan ini seharusnya membimbangkan kerana pada usia masih mentah, golongan terbabit sebenarnya berisiko tinggi menjadi mangsa jenayah kekerasan, sama ada dirogol, dilacurkan atau dibunuh.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryll Sani Abdullah Sani, berkata daripada jumlah keseluruhan remaja hilang sejak Januari 2004 hingga Mei tahun ini, 4,237 atau 67.5 peratus sudah pulang ke rumah. Bagaimanapun, baki seramai 2,033 lagi tidak dapat dikesan.

Perkara ini sangat membimbangkan kerana kita lihat fenomena lari dari rumah ini sudah menjadi lumrah di Malaysia. Lari dari rumah dengan mengikuti kekasih adalah satu perkara yang sangat menyedihkan para ibu bapa lantaran anak yang dikandung dan dijaga dengan penuh kasih sayang, pada akhirnya lari meninggalkan mereka tanpa pesan. Antara punca yang dapat dikenalpasti lagi adalah faktor ketandusan kasih sayang di dalam institusi kekeluargaan itu sendiri, pengaruh kawan dan inginkan kebebasan.

Adalah dinasihatkan para ibu bapa perlu menjadi lebih peka terhadap anak-anak mereka dengan siapa mereka berkawan dengan siapa mereka keluar. Ibu bapa perlulah merencanakan sesuatu dalam mendidik anak-anak mereka agar anak-anak mempunyai prinsip dalam hidup bukan mudah terpengaruh dengan kawan-kawan dan juga di laman sosial di mana sekarang pergaulan tanpa batasan dan had jika tidak dikawal oleh ibu bapa mereka sendiri.

Manakala satu lagi kes terhadap remaja baru-bru ini yang menggemparkan yang berlaku kepada adik Nazatul Fardiana Mohd Izwan, 15 tahun yang telah di culik dan dibawa lari ke Thailand sebelum di selamatkan oleh Polis Diraja Thailand. Alhamdulillah kerana adik Nazatul berjaya melarikan diri daripada sindiket pelacuran antarabangsa yang dipercayai menculiknya. Tetapi kes ini masih lagi disiasat kerana tidak dapat maklumat yang lengkap berikutan mangsa yang masih dalam trauma.

Perkara seperti ini sangat membimbangkan terutama kepada para ibu bapa. Dengan kes culik yang semakin menjadi-jadi ini saya  menyarankan agar ibu bapa mengawasi gerak geri anak-anak dan juga sentiasa menasihati anak-anak agar  berwaspada terhadap orang yang tidak dikenali. Kita lihat kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa di atas jenayah yang semakin menjadi-jadi pada hari ini, penjenayah mengambil kesempatan di atas mereka yang lemah dan tidak berdaya untuk melawan bahkan untuk mempertahankan diri.

Bagi saya, kini tugas seperti ini bukan semata-mata kita perlu tuding kepada polis sahaja untuk menyelesaikannya tetapi sebagai masyarakat juga kita perlu mengambil peranan dengan bersama-sama membantu membanteras jenayah seperti ini. Ini jelas kerana kita lihat penjenayah semakin berani melakukan jenayah di tempat yang terbuka.

 

 

Norhamimah Ibrahim

Naib Presiden 2, PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top