Media PEMBINA berkesempatan menemuramah Puan Aizat Ariffin selaku Bendahari Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) berkaitan konsep penghakupayaan belia.
Penghakupayaan belia atau youth empowerment merupakan satu konsep yang dilaung-laungkan pelbagai pihak dalam usaha memaksimakan potensi dan manfaat belia kepada kemajuan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.
MP : MediaPEMBINA
AZ : Puan Aizat Arifin
MP : Apakah yang dimaksudkan dengan penghakupayaan belia (youth empowerment) ?
AZ : Penghakupayaan belia ini pernah disebutkan oleh Dato’ Saifudin Abdullah iaitu ‘membolehkan dan mendapatkan belia untuk berfikir dan bertindak atas semua isu (peribadi, keluarga, sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh dirinya dan segala di sekitarnya yang mereka adalah sebahagian daripadanya’.
Bagi saya, secara mudahnya, youth empowerment atau penghakupayaan belia ini melambangkan jatidiri belia yang sepatutnya ada dalam diri seseorang belia itu. Belia pada umurnya, segala potensi baik disalurkan, diledakkan sepenuhnya untuk dimanfaatkan pada persekitarannya.
Melalui pembacaan saya, penghakupayaan belia ini adalah wasilah belia dalam menyalurkan idea, menjana tenaga dan kepakaran menerusi aktiviti dalam gerakan perjuangan belia melalui platform-platform yang belia sertai tanpa sekatan.
Seperti yang pernah diperkatakan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah, sekiranya konsep penghakupayaan ini berjaya difahami dan diiktiraf isitlah ini dan didokumenkan secara rasmi , barulah tiga permintaan asas belia iaitu belia mahu suaranya didengar, belia mahu peranannya diiktiraf dan belia mahu masalahnya diselesaikan dengan cara yang berorientasi belia dapat dipenuhi.
MP : Pada pandangan saudari, sejauh mana berjalan konsep penghakupayaan belia dalam negara kita? Tanggungjawab siapakah sebenarnya memastikan konsep ini berlangsung dan memberikan hasil yang sepatutnya?
AZ : Sejak akhir-akhir ini, peluang penggarapan potensi belia dalam negara kita banyak diketengahkan. Perdana Menteri kita ada membuka peluang dan ruang kepada belia seperti Skim Rumah Pertamaku, Parlimen Belia dan sebagainya.
Pada pendapat saya, insentif sebegini boleh membuka ruang konsep penghakupayaan belia. Namun begitu, ia kurang berkesan jika belia sendiri tidak menggunakan sepenuhnya peluang dan ruang yang diberikan untuk bersuara dan melangkah ke depan lagi.
Dari sudut tanggungjawab siapa yang sebenarnya perlu memastikan konsep ini berlangsung, ia perlu digarap dengan lebih dari pihak bawahan sebagai pelaksana konsep ini, iaitu bagaimana untuk menggalakkan belia menggunakan peluang yang tersedia ada untuk melontar idea-idea yang bernas.
Jaringan teknologi maklumat yang semakin canggih zaman ini, sepatutnya membolehkan para belia lebih bertindak dalam menyentuh isu-isu dalam masyarakat.
MP : Adakah penghakupayaan belia menjadi satu ruang atau hak yang perlu dituntut oleh belia?
Atau ia perlu diimplementasikan secara tidak sedar ke atas mereka oleh pihak bertanggungjawab/masyarakat?
AZ : Penghakupayaan belia ini perlu dijadikan satu ruang atau yang boleh dituntut oleh belia, malah perlu juga diimplementasikan secara tidak sedar ke atas belia oleh pihak yang bertanggungjawab atau masyarakat.
Ini kerana, ruang-ruang yang diberikan oleh pihak kerajaan seperti Parlimen Belia, Rumah Pertamaku, mentor usahawan adalah suntikan yang bagus untuk menjadi medan para belia kita mengetengahkan idea-idea bernas, pendapat atau ‘response’ terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Namun begitu, untuk menyemarakkan lagi ledakan penghakupayaan belia ini, ia juga perlu diimplementasikan secara tidak sedar untuk memastikan keberkesanannya.
Ini boleh dijalankan seperti tidak menyekat suara-suara belia dalam apa jua isu bernas yang boleh dimanfaatkan dalam masyarakat dan negara.
MP : Apakah usaha pembaikan yang boleh dilakukan bagi melaksanakan penghakupayaan belia dengan lebih berkesan?
AZ : Antara usaha enhancement yang boleh dilakukan ialah mempropagandakan lagi isitilah penghakupayaan ini dan membetulkan salah faham atau kekeliruan tentang konsep penghakupayaan ini.
Ada yang mengganggap belia ini adalah tempat ‘pembuangan’ tugas, menjadi wakil atau sebagai ‘delegasi’ untuk membuat sesuatu tugasan. Malahan, ada yang memanipulasi belia sebagai pelaksana sesuatu tujuan tanpa belia itu sendiri memahami apa yang mereka lakukan. Semua situasi ini bukan melambangkan konsep penghakupayaan yang sebenar.
Penghakupayaan belia yang sebenar ialah membiarkan para belia ini mengutarakan pendapat dan melahirkan tindakan atas kesedaran mereka yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling.
MP : Bagaimanakah pelaksanaan penghakupayaan belia dalam PEMBINA dan adakah hasilnya telah memberi impak kepada golongan belia mahupun masyarakat?
AZ : Pada pemerhatian dan pengalaman saya sepanjang berada dalam PEMBINA, perlaksanaan penghakupayaan belia ini ada berlaku sedikit sebanyak sama ada secara tidak langsung atau tidak sedar dalam ahli sendiri.
PEMBINA menyediakan ruang bebas kepada ahli untuk merangka program yang selari mencapai visi dan misi PEMBINA.
Konsep ini dapat memaksimakan kreativiti ahli dalam memberi sumbangan yang terbaik kepada organisasi dan masyarakat secara amnya.
MediaPEMBINA