BANGI, 30 Jan – “Saya tidak kenal AMHM, siapa AMHM? Adakah mereka sekelompok anak muda yang cuba mengulangi sejarah Adam Adli atau SAMM?
“Jika benar, maka kita sudah tau hujung pangkalnya,” kata Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Ibrahim Hassan ketika diminta mengulas mengenai sebuah gerakan yang menggelarkan mereka sebagai liberal, Kami Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM).
Dua hari lalu, AMHM telah menulis surat terbuka dengan menyuarakan 15 perkara antaranya mengenai hak untuk mengatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular, seruan menghapuskan Sistem Sekolah Vernakular dan Kedudukan Istimewa orang Melayu, desakan bahawa sistem dwi undang-undang ini (sivil dan Syariah) telah mendiskriminasikan banyak pihak seperti dalam kes hak penjagaan anak dan umat Islam yang ingin menukar agama dan lain-lain.
AMHM juga mendesak pemansuhan dasar pro-Bumiputera untuk digantikan dengan berasaskan keperluan, tanpa menyentuh atau merujuk mana-mana bangsa atau etnik.
Ustaz Ibrahim berkata, surat terbuka itu langsung tidak menunjukkan kematangan apatah lagi mereka dengan jelas cuba mempromosikan idea liberal dan moderate dari Barat.
“Mereka tidak mewakili majoriti anak muda Malaysia. Malah, jauh sekali mewakili belia Islam negara ini,” katanya.
Sebagai seorang yang pernah bergelar mahasiswa, adakah AMHM hanya pernah belajar mengenai kesamarataan (equality) dan tidak pernah belajar mengenai kesaksamaan (equity)?
“Mereka harus difahami bahawa kesaksamaan adalah lebih adil dan dekat dengan Islam.
“Tidak dinafikan bahawa kerajaan belum berjaya mencapai 30 peratus ekuiti Bumiputera tetapi cadangan memansuhkan polisi pro Bumiputera bukan suatu penyelesaian bahkan memburukkan keadaan.
“Ini adalah idea kesamarataan yang dipromosikan oleh agenda liberal sebelum ini untuk menghapuskan agenda Bumiputera,” tegasnya.
Ustaz Ibrahim berkata, ketika Presiden Amerika, Barack Obama hadir ke Universiti Malaya suatu ketika dahulu, dia juga ada membawa idea yang sama.
“Bahkan Obama secara jelas menyatakan bahawa Malaysia tidak boleh berjaya jika tidak diberi peluang yang sama.
“Adakah lawatan sehari Obama itu telah memberi kesan kepada Fahmi Zainol?,” katanya.