BANGI, 30 Jan – Persatuan Belia Islam Malaysia (PEMBINA) mendesak pihak berkuasa untuk membatal atau menunda konsert artis K-Pop, Taeyang yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 Februari ini.
Naib Presiden 1 PEMBINA, Muhammad Uzair Izzat Amir Muhammad berkata, bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali, PEMBINA mendesak supaya konsert tersebut dibatal atau ditunda sehingga penganjur mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Katanya, insiden gadis bertudung dipeluk artis K-Pop sebelum ini sewajarnya menjadi pengajaran kepada semua pihak dan berharap ia tidak berulang.
“Apatah lagi sikap penganjur konsert itu yang dilihat lepas tangan. Bahkan pihak berkuasa yang membisu juga amat mengecewakan.
“Seolah-olah insiden sebegitu adalah normal dan biasa,” katanya ketika dihubungi.
Pada 7 Februari ini, penyanyi K-Pop terkenal Taeyang dijadualkan bakal mengadakan konsert sulungnya ‘2015 Taeyang World Tour Rise In Malaysia’ di Stadium Negara dan IME Event sebagai penganjur konsert.
Taeyang ini merupakan anggota kumpulan Big Bang yang berjaya menjadi menarik perhatian peminat K-Pop.
Jelas Uzair, rentetan dari ini pihak berkuasa tempatan dan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) perlu mengetatkan tapisan ketat artis luar negara yang ingin mengadakan persembahan.
“Mereka juga perlu mengenakan syarat-syarat tambahan yang mana garis panduan penganjuran konsert harus mengambil kira Garis Panduan Hiburan yang diterbitkan Jakim.
“Ini kerana soal akhlak dan nilai agama bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng sehingga kita menjualnya kepada artir-artis yang merosakkan itu,” ulasnya lebih lanjut.
Pingback: IMPERIALISME MEDIA KE ATAS REMAJA MALAYSIA |