Usah Heret Akademia Ke Anarki

BANGI, 26 Jan 2012 – Mengulas siri-siri demonstrasi mahasiswa yang menuntut kebebasan akademik, PEMBINA menasihatkan golongan mahasiswa agar menjauhi sebarang bentuk provokasi dan tindakan yang boleh menutup ruang-ruang terbuka dan peluang yang ditawarkan kerajaan untuk meminda AUKU, jika benar ikhlas memperjuangkan suara mahasiswa.

Naib Presiden I PEMBINA, Aizuddin Khalid mengulas usaha-usaha dan demonstrasi bagi menuntut kebebasan akademik, “Dalam situasi inilah sepatutnya mahasiswa menunjukkan kematangan, kepimpinan, skill pengurusan, serta kemampuan menghormati sistem jika benar mereka ngin menuntut hak tampil berpolitik secara terbuka. ” Menurut beliau, malangnya, siri-siri demonstrasi mahasiswa terkini telah mengakibatkan banyak gangguan ketenteraman awam, kerosakan harta-benda, menyebabkan ramai pihak difitnah, dan menimbulkan huru-hara dalam institusi akademik. “Usahlah mengheret akademia ke anarki,” tegas beliau lagi.

Aizuddin, yang juga Ketua Penerangan PEMBINA bagaimanapun berkata demonstrasi boleh dilakukan dalam isu-isu yang sesuai dengannya dengan pelaksanaan yang betul untuk menyatakan suara terhadap isu-isu yang besar. Beliau memberi contoh isu Palestin, pemanasan global, mempertahan kedaulatan negara, dan sebagainya yang menunjukkan kematangan dan kepekaan pelajar terhadap isu-isu semasa yang besar. Beliau turut menyarankan demonstrasi dilaksanakan secara aman, berakhlak, berdisiplin dan hormat-menghormati.

Dengan itu, Naib Presiden PEMBINA itu berpesan kepada para mahasiswa, “Golongan mahasiswa perlu menilai adakah benar siri-siri demonstrasi yang dianjurkan membawa mereka menghampiri sasaran, atau menambahkan skeptism masyarakat terhadap kemampuan para pelajar. Kebangkitan mahasiswa bukan datang melalui demonstrasi, tetapi kesedaran, kematangan dan kebijaksanaan dalam memahami isu dan menyuarakan pendirian,” tegas Aizuddin.

 

-Media PEMBINA-

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top