Pegangan akidah syarat jadi duta agama – Ustazah Firuz Akhtar

Gombak, 30 Januari – Belia diingatkan supaya berusaha untuk menjadi duta kepada Islam dengan menjaga batas-batas agama dalam pergaulan, demikian ujar Ustazah Firuz Akhtar, Juara Program realiti Ustazah Pilihan dalam ceramahnya di sini semalam.

Setiap individu muslim dan belia khususnya perlu menetapkan visi utama untuk mencari keredhaan Allah dan berusaha mencapai matlamat tersebut dengan memperbaiki diri dan mencipta wawasan supaya  terbentuk jatidiri seorang individu muslim yang holistik dan lebih seimbang, tambah beliau.

Katanya lagi, keseimbangan diri dapat dikuasai dengan mengaplikasikan kesemua aspek ‘quotient’ dalam diri masing- masing.

Beliau menekankan aspek ‘spiritual quotient’ atau pegangan akidah yang perlu diberi keutamaan untuk mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat.

Tanpa pegangan agama, manusia hilang arah tuju dan tidak mampu mendepani cabaran hidup, ujarnya lagi.

Beliau menambah, tiga lagi aspek ‘quotient’ yang perlu dikuasai dan diseimbangkan adalah intelek, emosi dan fizikal.

Ustazah Firuz  berkata demikian dalam ceramahnya kepada kira-kira 90 orang pelajar lepasan SPM yang menyertai Kem Lepasan SPM 2011 (KLS 2011) anjuran Kelab Remaja ISMA Gombak dan Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Gombak.

Program yang bertempat di UIA Gombak ini bertujuan untuk memberikan panduan halatuju selepas persekolahan dan maklumat terkini tentang pasaran kerja, selain untuk mendedahkan para peserta lepasan SPM dengan gambaran kehidupan di alam universiti.

 

 

Disediakan oleh:

Syaidatul Nadzrah Bt Nawi

Wartawan Media ISMA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top