Salam PEMBINA kepada Masyarakat Melayu Cham Siem Reap

SIEM REAP, 25 Januari 2012 – Naib Presiden PEMBINA, Aizuddin Khalid berkesempatan berkunjung ke kampung Melayu Cham di Siem Reap, Cambodia ketika ziarahnya ke sana. Beliau bertemu Mufti Siem Reap, Ust Hj Musa Soleh yang juga merupakan pemimpin kampung tersebut dan pemimpin Siem Reap Muslim Community Development Organization (SRMCDO), sebuah NGO tempatan. 

Naib Presiden PEMBINA, Aizuddin bersama Mufti Siem Reap, Ust Hj Musa Soleh

Dalam pertemuan tersebut, Ust Hj Musa menjelaskan keprihatinan beliau terhadap pembangunan masyarakat belia Melayu Cham agar memperkasakan diri dengan ilmu. Menurut beliau, rata-rata belia hanya menghabiskan pengajian sehingga tahap sekolah menengah dan kemudian terus bekerja yang ramainya tidak mempunyai pekerjaan tetap. Namun, beliau berpegang bahawa hanya penguasaan ilmu mampu menjamin masa depan mereka.

Aizuddin, menjawab kepada media PEMBINA, berpendapat bahawa selain bantuan kewangan yang sering dihulurkan masyarakat Malaysia, perkara yang lebih utama yang diperlukan masyarakat di sana adalah inspirasi belia-belia yang berjaya dan berwawasan. “Mereka memerlukan inspirasi belia-belia berjaya dan berwawasan bagi membangkitkan keinginan mereka untuk menguasai ilmu dan berbakti membangunkan bangsa mereka demi agama.”

Aizuddin menyampaikan salam ahli-ahli PEMBINA kepada beliau dan saudara-saudara seagama di sana. Ust Hj Musa turut mengalu-alukan lawatan kelompok PEMBINA yang lebih besar dan mengalukan sebarang sumbangan kepada masyarakat Cham terutama dalam bentuk khidmat masyarakat.

Masjid An-Nikmah Siem Reap

 

-Media PEMBINA-

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top