BANGI, 12 Feb – Perbuatan seorang lelaki tempatan Craig Stephan Hicks yang menembak mati tiga pelajar Islam Universiti North Carolina di Chapel Hill disifatkan sebagai satu tindakan rasisme.
Menurut Jawatankuasa Biro Kajian Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Muhammad Aiman Faudzi tindakan itu dilakukan atas sebab benci kepada agama Islam bukannya kerana masalah berebut tempat letak kereta seperti yang dilaporkan media Barat.
Namun begitu, media Barat tidak menguar-uarkannya sebagai satu bentuk rasisme kerana dilakukan oleh warga Amerika, tetapi melabelkan pembunuhan tersebut berpunca daripada masalah berebut tempat letak kereta.
“Perkara ini diakui sendiri oleh ayah kepada mangsa perempuan, Dr Muhammad Abu Salha di mana anaknya telah mengadu bahawa jirannya tersebut benci akan pakaian mereka yang menutup aurat serta memakai hijab,” katanya.
Menurut Aiman tajuk liputan berita ini walaupun jelas tetapi tidak dilabelkan sebagai extremis-rasis seperti mana media Barat memberi liputan terhadap tragedi Charlie Hebdo, walaupun tragedi itu tidak ada kepastian siapa pelakunya.
“Saya melihat ini sebagai satu tindakan hipokrit media Barat yang melampau. Samalah seperti bilamana mereka mengangkat isu hak asasi manusia dalam masa yang sama masih lagi menahan ramai orang Islam di dalam penjara Guantanamo Bay. Di sana manusia dilayan lebih teruk daripada anjing,” ujarnya.
Dalam kejadian Selasa lalu Deah Haddy Barakat, 23, suaminya, Yusor Mohammad Abu-Salha, 21 dan adiknya Razan Mohammad Abu-Salha, 19 ditemui mati dalam sebuah kompleks kondominium di luar kawasan kampus berhampiran universiti.