BANGI, 13 Feb- Fenomena dan budaya berpasangan bukan mahram sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat namun dengan kehadiran Hari Valentine ianya lebih menyemarakkan lagi nafsu serta boleh menjerumuskan kepada perbuatan zina.
Menurut Ketua Beliawanis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Roszida Kamaruddin kesannya merosakkan anak gadis, sekiranya si gadis didapati hamil. Mengikut statistik terbaru purata 83 orang bayi setiap hari didaftarkan sebagai anak sah taraf dan boleh meningkatkan kadar jenayah buang bayi.
“Kita takut perkara ini boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan yang bermula dari rosaknya individu,” katanya.
Oleh itu, Jawatankuasa Beliawanis PEMBINA hari ini melancarkan kempen “VALENTINE: MENGANCAM AQIDAH, MENGUNDANG ZINA!”.
Menurut Roszida, sebahagian masyarakat muslim mengetahui dan sedar akan fatwa dan larangan menyambut Hari Valentine atas faktor sejarah kewujudannya yang mampu memesongkan akidah.
“Namun masih ramai tetap terus meraikan samada dalam keadaan jahil ataupun mengetahuinya. Kerana ia telah menjadi sesuatu yang dibudayakan dalam masyarakat terutama dikalangan anak muda,” ujarnya.
Katanya lagi, usaha dan kempen menolak Hari Valentine telah dibuat oleh banyak pihak sejak lama dahulu, tetapi usaha-usaha ini belum memberikan kesan mendasar, apabila masih ada lagi orang Islam yang meraikannya.
“Maka menjadi tanggungjawab setiap muslim bagi tetap melancarkan kempen berterusan yang lebih berkesan dan menyelesaikan masalah dari akar umbi,”
Roszida juga berharap dengan kempen kesedaran yang dilaksanakan PEMBINA dapat mematikan budaya rosak ini sehingga akhirnya ia dipandang jijik dan hina oleh segenap lapisan masyarakat.
“Kembali kepada ajaran Islam dan yakinlah Islam sebagai solusi kepada segala permasalahan ummat,” ujarnya.
Sebagai permulaan dan sokongan terhadap kempen ini, Page rasmi PEMBINA telah melancarkan poster ‘Saya Tolak Valentine’ dengan harapan masyarakat sedar akan mesej berkenaan. Selain itu juga, street dakwah turut diadakan dilokasi tertentu.