Hampir kesemua kisah-kisah suka-duka untuk memulakan kehidupan bersama tarbiyyah Islamiyah diambil daripada kisah pengalaman para sahabat yang terawal memeluk Islam, seperti Abu Bakar r.a., Umar r.a., Mus’ab bin Umair r.a., Amru bin Jamuh r.a., Sa’id bin Amir al-Jumahi r.a., Khabbab bin A’rat r.a., Shuhaib ar-Rumi r.a. dan sebagainya.
Namun jarang sekali kisah pengalaman awal pentarbiyahan Abu Sufyan bin Harb r.a. dan ibrah kisah tersebut diceritakan.
Jangan terkeliru dengan Abu Sufyan al-Harith (bapa saudara Rasulullah s.a.w.), Abu Sufyan bin Harb pada zaman musyriknya adalah ketua penguasa Mekah di era Jahiliyyah. Abu Sufyan adalah antara yang paling kuat menentang Rasulullah s.a.w. dan Islam, dan antara penguasa Mekah paling lama yang berperang dengan Islam (Abu Talib meninggal dunia, Abu Jahal mati medan Badar, Abu Lahab mati kerana kusta) dalam peperangan Uhud, Khandaq.
Namun di sebalik kebencian terhadap ajaran Islam, ada satu nilai yang baik yang ada pada diri beliau, iaitu cintakan tanah air (Mekah) dan setia kepada amanah yang diberikan (sebagai pemimpin masyarakat Mekah). Ini ditunjukkan apabila Abu Sufyan sanggup bersusah-payah berulang-alik dari Mekah ke Madinah selepas Perjanjian Hudaibiyyah dikhianati (bukan oleh Abu Sufyan tetapi oleh Bani Bakr yang menyerang Bani Khuzaah), lantaran mahu berunding kerana tidak mahu tanah Mekah yang disayanginya diserang tentera Islam.
Allah s.w.t berhak memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Abu Sufyan bin Harb memeluk Islam sejurus sebelum peristiwa Fathul Mekah. Dengan nilai baik yang ada pada diri beliau pada zaman jahiliyyah, …
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”. (Sahih al-Bukhari)
… Rasulullah s.a.w. mengetahui dan meraikan nilai baik tersebut dengan tidak menenggelamkan kedudukan Abu Sufyan bin Harb r.a. walaupun setelah beliau Islam.
“… Barang siapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan, akan selamat. …”
Begitulah hebatnya Islam dan tarbiyyah Islamiyah, yang mengangkat tinggi nilai terbaik yang ada pada seseorang itu, dan menyalurkannya ke arah yang paling baik.
Pra-syaratnya hanya satu, kehidupannya selepas memeluk Islam adalah hidup bersama perjuangan Islam!
“MEMACU AKTIVISME BELIA ISLAM!”
Fakhruddin Afif Fauzi
Pengerusi PEMBINA Kedah