Serahkan isu Bukit Kepong kepada pakar-pakar sejarah

Isu kejadian serangan Bukit Kepong mutakhir ini dibangkitkan dan menjadi hangat di media arus perdana mahupun alternatif. Subjek yang menjadi perhatian adalah kontroversi ketokohan Mat Indera serta status polis-polis Melayu yang terlibat dalam peristiwa itu. Muncul pandangan-pandangan yang melabelkan Mat Indera yang telah pun meninggal sebagai pejuang dan petualang; ada pula yang melabel beliau sebagai pengkhianat mahupun pengganas. Pada masa yang sama, ada pula yang melabel para polis sebagai tali-barut British. Susulan perbezaan pendapat ini, forum-forum terbuka ingin dianjur parti-parti politik dari kerajaan mahupun pembangkang bagi  memperdebatkan status mereka yang terlibat dalam kejadian Bukit Kepong terutama status kesetiaan Mat Indera kepada negara. Isu ini bahkan sudah berlarutan sehingga terbawa kepada mempertikai kewibawaan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama Malaysia.
 
PEMBINA melihat isu ini telah dipolitikkan secara berlebihan. Sepatutnya, status Mat Indera serta mereka yang terlibat sebagai pejuang atau pengkhianat lebih elok dikaji oleh golongan pakar sejarah, bukan ditentukan oleh golongan politik yang mempunyai kecenderungan tersendiri. Tidak dinafikan bahawa penceritaan sejarah dapat berubah berdasarkan fakta dan bukti yang ditemui, namun biarlah golongan yang ahli yang menentukannya. Sebarang perbincangan terbuka dikalangan orang yang bukan pakar dalam bidang sejarah amat merugikan dan tidak dapat membawa kepada sebarang konklusi, malah sekadar mengelirukan masyarakat.
 
Justeru itu, PEMBINA menyeru semua pihak agar berhenti mempolitikkan peristiwa ini; hormatilah si mati dan perasaan para warisnya. Sejarah akan memberi manfaat jika kita berusaha mendalami pengajaran-pengajarannya, bukan dengan mempertikai dan memperdebat penceritaannya. Disamping itu, golongan politik juga harus fokus kepada mempertingkatkan kualiti hidup rakyat, dan memenangi hati rakyat melalui perkhidmatan dan kebajikan, bukan dengan memburukkan orang lain apatah lagi mengungkit sejarah silam. 

Kenyataan rasmi disediakan oleh:

Aizuddin Khalid
Naib Presiden I
Ketua Penerangan PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top