Sumbangan Generasi Sahabat

Takrif sahabat

Sahabat adalah orang yang paling hampir dengan Rasullah S.A.W, mereka hidup sekitar 100 tahun selepas Rasullah diangkat menjadi Nabi dan Rasul terakhir diutuskan kepada umat manusia..

Kata Ibnu Katsir : “Sahabat adalah orang Islam yang bertemu dengan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, meskipun waktu bertemu dengan baginda tidak lama dan tidak meriwayatkan satu hadith pun dari baginda”.

Ibn Hajar Al-Asqolani berkata:
“Orang yang berjumpa dengan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam keadaan beriman dan wafat dalam keadaan Islam”.

 

Keutamaan sahabat

Mereka inilah golongan yang diiktiraf sebagai salah satu daripada generasi manusia terbaik yang pernah dilahirkan di atas muka bumi. Ciri-ciri terbaik ini digambarkan dengan seluruh kehidupan mereka, sehinggakan tiada apa yang mereka cintai melebihi Allah dan para rasulnya..

Dari Abdullah bin Mas’ud r.a., bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik manusia adalah pada zamanku,
kemudian zaman berikutnya, kemudian zaman
berikutnya”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

bahkan Rasulullah S.A.W melarang daripada perbuatan mencela para sahabat, merendah-rendahkan mahupun meremeh-remehkan mereka.

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Janganlah kalian mencela sahabatku, demi
Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya
seandainya seorang diantara kalian berinfak
emas seperti gunung Uhud, sungguh belum
menyamai satu mud seorang diantara mereka,
tidak pula separuhnya”
(HR. Bukhari dan Muslim)

Kehebatan para sahabat

kehebatan para sahabat dapat disimpulkan melalui beberapa aspek yang mencerminkan kejituan iman mereka:

  • Keimanan yang mendalam
  • Bersegera laksana perintah Allah
  • Kecintaan kepada Allah dan Rasul
  • Infak harta di jalan Allah
  • Keghairahan untuk syahid
  • Mengutamakan saudaranya
  • Kesungguhan dalam perjuangan
  • Kesetiaan yang tiada tolak ansur
  • Sabar dalam menanggung kesusahan
  • Tauladan dari para sahabiyah

apakah yang dimaksudkan dengan ciri-ciri tersebut? apakah kisah-kisah dan peristiwa-peristiwa yang melayakkan mereka memiliki ciri-ciri tersebut..?

KEIMANAN YANG MENDALAM

Kisah Harithah bin Suraqah (17 tahun)
 “… Aku bangun pagi ini sebagai seorang yang benar-benar beriman…. Aku berpaling dari keinginan dunia; aku qiamullail sepanjang malam dan aku puasa pada siangnya; seolah-oleh aku melihat Arasy Allah dihadapanku; seolah-oleh aku melihat ahli syurga sedang bersenang-lenang dan seolah-oleh aku lihat ahli neraka sedang disiksa”

Rasulullah bersabda: “Hendaklah engkau istiqamah”

BERSEGERA MELAKSANAKAN PERINTAH ALLAH

Kisah wanita ansar

Aisyah R.A berkata: “Wanita yang terbaik adalah wanita ansar. Apabila ayat hijab diturunkan pada waktu isyak, semua mereka memakai hijab semasa solat subuh”

Pengharaman arak

Anas bin Malik berkata: “Sewaktu arak diharamkan, aku sedang menghidang arak di rumah Abu Talhah. Tanpa membuang masa, Abu Talhah menyuruh aku membuang arak, dan aku lihat jalan-jalan di Madinah penuh dengan arak (seperti sungai).

KECINTAAN MENDALAM KEPADA ALLAH DAN RASUL

Kisah Abdullah ibn Zul-Bujadain r.a

Rasulullah s.a.w meminta sahabat berlaku lemah-lembut dengan dengan jenazahnya kerana dia amat mencintai Allah dan Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w berdoa untuknya: “Aku redha terhadapnya, Wahai Allah, redhalah terhadapnya”

Kisah Zaid bin Ad-Dasinah r.a ketika hendak dibunuh

“Demi Allah, aku tidak suka Muhammad berada di tempatku sekarang (untuk dibunuh), walaupun Muhammad berada di tempatnya dan duri mencucuk kakinya, dan aku ketika itu berada di kalangan keluargaku”

INFAQ HARTA DI JALAN ALLAH

Kisah Abu Dahdah r.a

Ketika diturunkan ayat Al-Baqarah: 245

“Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik, maka Allah akan memperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak…”

Abu Dahdah memegang tangan Rasulullah s.a.w sambil berkata: “Aku memberikan hutang kepada Tuhanku dengan kebunku” – kebunnya mempunyai 600 pokok tamar

KEGHAIRAHAN UNTUK SYAHID

Kisah Umair bin Al-Humam

Dalam peperangan Badar, ketika Rasululullah menyusun Saf para sahabat, Umair sedang memegang beberapa biji tamar. Dia kemudian berkata: “… sekiranya aku masih hidup sehingga aku selesai memakan buah tamar ini… maka kehidupanku masih panjang lagi,” Lalu dia mencampakkan tamar tersebut dan terjun ke meddan syahid..

Kisah seorang lelaki Arab

Ketika rasulullah memebahagikan harta ghanimah (rampasan perang), seorang lelaki Badwi datang dan berkata: “Wahai rasulullah, aku tidak ikut berperang untuk ini (harta), akan tetapi supaya aku mati dipanah di sini (sambil mengisyaratkan ke halqumnya). Rasulullah bersabda:“Sekiranya engkau bercakap benar, Allah akan membenarkan kamu”. Setelah tamat peperangan, lelaki tersebut dijumpai syahid sebagaimana yang dipinta (dipanah di halqumnya). Subhanallah…

MENGUTAMAKAN SAUDARANYA

Lelaki ansar dan tetamu

Pada suatu hari,Rasulullah menerima kedatangan tetamu, lalu baginda bertanya:“Siapa di antara kamu yang sanggup melayani orang ini sebagai tamu pada malam ini?”. Maka seorang lelaki Ansar menerima pelawaan tersebut. Oleh kerana hanya ada makanan yang sangat sedikit di rumah mereka, lelaki tersebut menyuruh isterinya untuk menidurkan anak-anak mereka sebelum mereka sempat makan malam. dan ketika menjamu tetamu mereka, lampu rumah dimalapkan sedikit dan sahabat ansar itu berpura-pura makan sekali, sedangkan hanya tetamu mereka yang menikmati hidangan tersebut. Sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabat tadi setelah mengetahui akan peristiwa tersebut: “Sesungguhnya Allah telah kagum dengan perbuatan kamu berdua ke atas tetamu kamu semalam..”

Lalu diturunkan ayat Al-Hasyr:9

“… dan mereka mengutamakan (orang-orang lain) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka di dalam kesusahan”

Begitu juga dengan layanan orang Ansar kepada orang Muhajirin ketika mereka berhijrah ke Madinah, yang menggambarkan betapa tingginya ukhuwah islamiyyah wlaupun pada kali pertama bertemu!

KESUNGGUHAN DALAM PERJUANGAN

Siapakah yang boleh melupakan kisah Abu Ayub Al-Ansari yang menyertai cubaan membuka Konstantinople pada usia 80 tahun dan dikuburkan di tembok kota tersebut. Kisah Anas bin An-Nadr dalam perang Uhud

Anas R.A pula menceritakan kepada kita perihal bapa saudaranya: “Bapa saudaraku Anas bin An-Nadr tidak bersama dalam Perang Badar lalu dia berkata, “Ya Rasulullah, aku tidak bersama ketika engkau kali pertama berperang menghadapi musyrikin. Jika aku dapat memerangi musyrikin, Allah akan memperlihatkan kamu apa yang akan aku lakukan”. Pada hari Perang Uhud dan tentera Islam menerima padah, dia berkata, “Ya Allah, aku memohon maaf kepadaMu terhadap apa yang mereka (tentera Islam) lakukan dan aku berlepas diri untukMu dari apa yang mereka (tentera Musyrikin) lakukan, kemudian dia mara dan bertemu menghadap Saad bin Muaz (ketua Ansar) lalu berkata, “Ya Saad bin Muaz ! Syurga dan demi Tuhan, aku sedang mencium bau Syurga yang datang dari arah Bukit Uhud”. Saad berkata, “Ya Rasulullah! Aku tidak mampu lakukan sepertimana yang dia dapat lakukan. Kata Anas, “Kami dapati padanya lebih dari 80 liang akibat pukulan pedang, tikaman tombak dan panah. Dia telah terbunuh dan dikelar-kelar oleh kaum Musyrikin. Tidak seorang pun yang dapat mengenalinya kecuali kakaknya melalui jari-jarinya. Kata Anas ra, “Kami lihat atau rasa bahawa ayat “Dari kalangan orang-orang beriman terdapat mereka yang membenarkan apa yang dijanjikannya kepada Tuhannya”… (hingga akhir ayat)‘ diturunkan untuknya atau para Sahabat ra seperti beliau. (Hadis Sahih riwayat Al-Bukhari)

SABAR MENANGGUNG KESUSAHAN

Lihatlah kisah Bilal R.A yang tidak sedikitpun berganjak dari keimanan ketika disiksa oleh tuannya Umaiyah, bahkan mulutnya tidak henti-henti mengucapkan “Ahad..,Ahad,..”. Juga perihal keluarga Yasir yang menjadi keluarga syahid pertama dalam Islam. Isteri Yasir, Sumaiyah, menjadi wanita pertama syahid dalam Islam. Begitu juga dengan siksaan hebat yang ditanggung oleh Kisah Khabbab bin ‘Arat, tatkala dia dicampakkan kedalam api dan diseret sehingga keluar darah dan lemak. Badan dan kepalanya diselar oleh besi-besi panas. kesusahan dan keperitan ini ditanggung oleh mereka dengan rasa sabar dan redha, jauh dari cacian dan keluhan…

TAULADAN DARI PARA SAHABIYAH

Perjalanan da’wah Islamiyah juga dengan jelasnya menceritakan kehebatan para Sahabiyah R.A. Sahabiyah terlibat dalam semua peristiwa penting seperti bai’ah Aqabah, hijrah ke Habsyah, dan siri-siri perangan.

Kisah Asma’ binti Abu bakar

Antara contoh yang jelas ialah peranan Asma’ binti Abu Bakar semasa hijrah Rasulullah ke Madinah. Beliau bertindak sebagai pembawa makanan untuk Baginda dan bapanya ketika mereka berada di gua Tsur, sehingga digelar ‘wanita yang mempunyai dua tali pinggang’ kerana tindakannya mengoyakkan tali pinggangnya kepada dua bahagian, satu untuk mengikat makanan, dan satu untuk air..

Kisah Nusaibah binti Ka’ab ketika peperangan Uhud

Nusaibah menceritakan sebagaimana yang diungkapkan oleh ibnu Sa’ad: ” Pada permulaan siang, saya pergi ke Uhud dan saya melihat apa yang dilakukan orang. Pada waktu itu saya membawa tempat yang berisi air. Kemudian saya sampai kepada Rasulullah S.A.W. yang berada di tengah-tengah para sahabat. Ketika kaum muslimin mengalami kekalahan, saya melindungi Rasulullah S.A.W, kemudian ikut serta ke medan pertempuran. Saya berusaha melindungi Rasulullah S.A.W. dengan pedang, saya juga menggunakan panah sehingga akhirnya saya terluka.”

“Islam telah pun melahirkan satu generasi manusia, generasi sahabat Rasulullah s.a.w, Ridhwanullah alaihim, iaitu suatu generasi yang paling istimewa di dalam sejarah Islam dan di dalam sejarah kemanusiaan seluruhnya…”

Dr. Ahmad Kamsani Samingan
Wacana Belia IPT Perak

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top