KEM "Bond of Ukhuwah"

 

 

ALHAMDULILLAH, pada 21 hingga 23 Mei lalu, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah bekerjasamadengan Guidance Club (GNCC) dari Kolej Mara Banting (KMB) untuk menganjurkan Kem “Bond of Ukhuwwah”. Kem ini telah diadakan di Taman Pertanian Bukit Cahaya Sri Alam, Shah Alam. Program ini adalah khusus untuk ahli-ahli GNCC, yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara. PEMBINA pula berperanan sebagai penganjur rasmi dan fasilitator kem. Objektif kem ini adalah untuk merapatkan ukhuwwah antara ahli-ahli GNCC, yang merupakan sebuah persatuan dakwah dan kebajikan di KMB. Di samping itu, kem ini bertujuan menaikkan semangat dan menggalakkan lagi ahli-ahli GNCC untuk terlibat dalam aktiviti dakwah dan tarbiyyah.

 

Kem ini berkonsepkan aktiviti-aktiviti fizikal yang menekankan aspek kerjasama, kesatuan, kesepakatan, organisasi, dan disiplin. Disamping itu, program juga diselitkan dengan pengisian-pengisian yang menekankan kepentingan ukhuwwah dan pembinaan diri. Aktiviti-aktiviti fizikal yang dijalankan telah disusun khas untuk mencapai objektif yang diletakkan. Antara aktiviti menarik yang dilaksanakan adalah aktiviti teambuilding, berkayuh basikal sekeliling Bukit Cerakah, lawatan ke Rumah Empat Musim, dan permainan di kolam renang.

 

 

Kem ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Ust Fauzi Asmuni dan Ust Muhammad Ismail yang sudi datang ke Bukit Cerakah untuk memberi pengisian tsaqafah kepada para peserta. Keheningan subuh juga diceriakan lagi dengan kehadiran saudara Mohd Noreffendy Jayah pada subuh pertama dan Tengku AsyrafTengku Mohd Nor Izam pada subuh kedua untuk menceritakan kisah-kisah para sahabat Rasulullah SAW. Keduanya merupakan ahli PEMBINA yang juga bekas mahasiswa dari Australia.

Majlis penutupan kem telah disempurnakan dengan ucapan rumusan dari wakil peserta lelaki dan perempuan dari GNCC beserta penyampaian cenderamata, tanda penghargaan dari GNCC kepada PEMBINA. PEMBINA telah diwakili oleh Saudara Aizuddin Khalid dan Mohd Shakur Muhamad Zamani untuk menerima cenderamata tersebut. Program diakhiri dengan sebuah video yang memaparkan detik-detik manis sepanjang kem 3 hari tersebut.

Kem ini adalah julung-julung kali PEMBINA bekerjasama dengan GNCC untuk menganjurkan program sebegini. Diharapkan hubungan antara PEMBINA dan GNCC akan terus berkekalan dan lebih banyak lagi bersama yang dapat diatur pada masa akan datang.

{dmotion}x5pssl{/dmotion}

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top