Umat yang Dikecewakan

Assalamulaikum…

Saudara dan saudari pelawat yang dirahmati Allah. Ramai dari kita yang kecewa apabila melihatkan masalah masyarakat muslim khususnya belia pada hari ini. Angka-angka* yang mengambarkan kegawatan gejala sosial terus dibincangkan samada oleh sarjana di pusat pengajian tinggi, penggubal dasar di kementerian berkaitan, mahupun perbincangan / ‘muzakarah’ di Kedai Kopi Pak Mat, Hulu Langat Selangor. Perasaan ini dizahirkan melalui nada perbincangan yang panas, suara tinggi, malah yang emosi dengan biji mata yang merah menyala. Mereka kelihatan ikhlas ketika berbicara. Masing-masing ada teori tersendiri berhubung punca masalah tersebut. Masing-masing memerah otak seolah-olah mahu menyelesaikanya.

Malangnya apabila dilihat aspek tindakan yang dibuat, ia sering kali tidak mengambarkan kekecewaan tadi. Masa, tenaga dan tindakan hanya berlegar di sekitar diri sendiri, keluarga sendiri, kerjaya sendiri dan kehidupan dalam lingkunganya sendiri. Namun dalam masa yang sama kita merayu dan berdoa kepada Allah dan kita mohon pertolongan dari Allah untuk menyelamatkan umat ini.

Kita sebenarnya lupa bahawa doa dan permohonan kita tidak layak untuk diperkenankankan. Kita hanya umat yang layak dikecewakan!!!!….

Kenapa???..

Kerana, dari Aisyah r.a.., Rasululluah s.a.w telah masuk kerumahku, lalu aku tahu melalui wajahnya bahawa wahyu telah turun kepadanya, Baginda terus berwuduk dan tidak bercakap dengan sesiapapun. Aku duduk di tepi dinding bilik untuk mendengar apa yang disabdakan Baginda. Baginda terus duduk di atas mimbar lalu memuji Allah dan bersabda: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah berfirman kepada kamu semua: ‘Serulah melakukan ma’ruf dan laranglah kemungkaran sebelum kamu berdoa kepada-ku, tetapi Aku tidak memperkenankan doa kamu, sebelum kamu meminta kepada-Ku tetapi Aku tidak menunaikan permintaan kamu dan sebelum kamu meminta pertolongan kepada-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu.’ Baginda tidak berkata lebih dari itu sehingga Baginda turun dari mimbar. (Sahih-Riwayat Ibn Majah & Ibn Hibban)

Agama ini tidak akan ditinggikan hanya kerana ia satu-satunya agama yang diredhai Allah, hanya kerana ia mengungguli sejarah ketamadunan dunia ribuan tahun lamanya atau kerana ia diimani dengan mendalam tetapi umatnya meninggalkan menyeru kepada yang ma’ruf dan melarang kepada kemungkaran dikalangan mereka. Agama ini tidak akan berjaya hanya melalui keajaiban kerana Allah tidak mengkehendaki demikian.

Ma’ruf yang paling utama untuk diseru adalah agar manusia semula kembali kepada Allah dalam semua aspek hidup. Ia tidak dapat dicapai hanya dengan ceramah-ceramah yang berapi-api atau yang syahdu dengan linangan air mata. Atau dengan edaran risalah yang penuh dengan data dan angka serta rujukan yang berjela-jela. Tetapi ia hanya dapat dicapai bermula dengan pembinaan individu secara sedar, satu persatu setiap langkah. Dari iman didalam hati, akhlak yang dizahirkan dan seterusnya.. hinggalah fizikal tubuh yang kuat. Melalui teori, ujian dan latihan… secara bersungguh-sungguh setiap satunya. Mungkar yang perlu kita perangi pula apabila manusia meninggalkan walaupun hanya satu syariat Allah dan mengantikan dengan keputusan manusia..

Betapa kecewa kita sepatutnya… apabila Allah yang menjadikan kita, tempat kita bergantung dari segala kejahatan manusia dan jin, penentu setiap perkara didunia dari sebesar hingga sekecil-kecil perkara telah memutuskan hubungan dengan kita… kerana kita meninggalkan sunnahnya iaitu agama ini akan berjaya jika umatnya tidak meninggalkan tugas yang maha penting ini!!

Kekecewaan kita hanya satu kepura-puraan yang akan dihisab oleh Allah.. jika kita juga termasuk dalam golongan tersebut!!.

Wassalam.

 

*Nota: Sila rujuk statistik masalah sosial yang ada di web ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top