Pembina Sokong Usaha KPM Kukuh Peranan Mahasiswa

Keanggotaan mahasiswa dalam Senat dapat kurangkan salah faham

BANGI, 17 Ogos 2019 – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan melantik wakil mahasiswa sebagai anggota Senat di Universiti Awam (UA) masing-masing.

Presiden Pembina, Azam Asri berkata, anugerah itu perlu diterima oleh mahasiswa sebagai peluang untuk melahirkan kepimpinan muda negara yang kompeten, bukan sekadar menonjolkan kuasa dan suara mahasiswa seperti sesetengah ‘tagline’ yang digunakan, ‘suara mahasiswa, suara keramat’.

“Menerusi konflik-konflik yang berlaku, kami melihat pembabitan mahasiswa dalam mesyuarat ahli Senat membantu dalam mengurangkan perselisihan fahaman antara mahasiswa dan pentadbiran. Sejarah mahasiswa menunjukkan konflik antara mahasiswa dan universiti sering berlaku dari dahulu dan dari mana-mana negara pun.

“Justeru, pembabitan mahasiswa di dalam mesyuarat Senat akan membantu pihak pentadbiran lebih memahami situasi di bawah, malah mahasiswa juga lebih memahami sebab pentadbiran melakukan keputusan yang mungkin dilihat tidak mesra bagi mereka,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Dalam pada itu, Azam berkata, kedua-dua pihak perlu disinergikan supaya tidak menimbulkan kacau bilau dan fokus utama tidak diabaikan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat mahasiswa hanya perlu membabitkan diri dalam pengurusan hal ehwal pelajar sahaja, manakala hal ehwal lain seperti akademik wajar dibincangkan oleh ahlinya.

Katanya, ia bertujuan supaya mahasiswa tidak menganggu keputusan ahli Senat membuat keputusan berkaitan hal-hal lain yang mungkin jauh daripada kefahaman dan bidang kuasa mahasiswa.

“Pihak pentadbiran perlu memahami kehendak mahasiswa dan mahasiswa pula kena belajar untuk menerima keputusan ahli mesyuarat Senat dengan baik. Kita tidak mahu konflik-konflik seperti kenaikkan harga yuran menjadi batu loncatan yang digunakan sesetengah pihak untuk memperolehi political mileage,” kata beliau.

Baru-baru, Kementerian Pendidikan mengambil langkah melantik wakil mahasiswa sebagai anggota Senat di UA masing-masing dengan matlamat inisiatif itu berupaya mengangkat dan mengukuhkan peranan golongan berkenaan di negara ini.

Langkah itu menjadikan UA di Malaysia menjadi universiti pertama di Asia Tenggara melantik wakil mahasiswa bagi mengisi jawatan terbabit.

Sumber: ismaweb.net

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top