19 Disember 2009, Sabtu – Pasukan Beliawanis Shah Alam/Klang (SAK) telah menghantar dua pasukan dalam acara bola jaring dan bola tampar dalam menyahut cabaran Karnival Sukan Belia Islam (KASBI) 2009 yang bertemakan “Menzahirkan Keperkasaan Belia” bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk acara perasmian dan German-Malaysian Institute (GMI) bagi acara-acara kategori wanita.
Justeru para pemain yang terus berkobar-kobar semangat terus memberikan permainan yang mantap meskipun cuaca ketika itu hujan. Pasukan bola tampar “Shark Alam Warriors” menentang pasukan Melaka untuk permainan pertama. Meskipun memperoleh mata terkebelakang berbanding pasukan Melaka pada awal permainan, setiap pemain terus memberi semangat antara satu sama lain dalam mengejar mata. Laungan-laungan takbir serta ” daripada surah al-Anfaal ayat 17 yang bermaksud “dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar tetapi Allah lah yang melempar ” membakar semangat peserta untuk terus memberi saingan yang sengit. Sorakan ”Dua Digit” juga bergema dalam memberi sokongan kepada pemain mengejar mata. Namun begitu, “Shark Alam Warriors” tetap tewas kepada Melaka.
Kekalahan terhadap Melaka sama sekali tidak melemahkan semangat pemain malahan sorakan dan laungan takbir yang bersahut-sahutan daripada penyokong SAK memberikan nafas baru kepada pemain untuk memberi saingan yang sengit kepada pihak lawan. “Shark Alam Warriors” berjaya menewaskan pasukan DHL dan Penang meskipun dalam keadaan cuaca yang hujan.