Acapkali. Bahkan sudah lali kita mendengar kisah dan cerita pengorbanan agung Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail setiap kali menjelang Zulhijjah. Namun adakah dengan berulang-ulangnya kisah ini bererti kita telah menghafal setiap jalan cerita? Dan adakah pula dapat kita mengambil mutiara paling berharga dari sosok wanita yang hebat ini. Jika ya, masih ingatkah pada kata-kata Siti Hajar tatkala ditinggalkan Nabi Ibrahim di suatu kawasan lapang dan gersang kerana mentaati perintah Allah?
“Jika ia benar perintah dari Allah, tinggalkanlah kami disini. Tentulah Tuhan tidak akan mensia-siakan kami!”
Subhanallah. Betapa besar dan teguh akan keimanan seorang wanita bernama Siti Hajar dalam mentaati perintah Allah. Keyakinan yang mendalam kepada Allah SWT merelakan dirinya untuk menempuh sedikit kesukaran yang diyakini ada hikmah di penghujungnya. Kegusaran, kesedihan yang terpancar dari pertanyaan sebelum kata-kata itu hanya saja kerana belum mengetahui ianya perintah Allah kepada sang Nabi. Sempat dia bertanya.
“Wahai Ibrahim A.S., kemana engkau akan pergi? Apakah engkau akan meninggalkan kami di lembah yang tidak ada siapapun dan tidak ada apa apa?”
Namun begitulah taatnya seorang muslimah tatkala mengetahui ianya datang dari Allah, terus menerimanya dengan ikhlas dan redha. Dengan penuh yakin kata-katanya menenangkan hati sang suami yang didalam keadaan gundah gulana. Pun begitu Nabi Ibrahim dengan penuh kerendahan hati dalam ketaatan, bermunajat dan berdoa seperti dinukilkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran,
“Ya Tuhan, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari keturunanku di lembah yang tidak mempunyai taman-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan (agar demikian) itu agar mereka melaksanakan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami nampakkan, dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik apa yang ada di bumi mahupun di langit” (Ibrahim 37-38)
Sabar, tawakal dan usaha menghadapi ujian
Ujian yang bakal ditempuh Siti Hajar bukan mudah, tiada sebarang petunjuk, tiada orang keliling buat tempat bertanya, bergantung dan memohon belas. Namun dengan bekal kekuatan iman dan kekuatan mental yang berpadu melahirkan sikap sabar dan tangguh dalam menghadapi ujian hidup. Siti Hajar tidak mudah menyerah, dengan tawakal tinggi kepada Allah, beliau tidak meletakkan sedikit sahaja usaha bahkan dengan segenap kudrat dan kemampuan yang dimilikinya berlari-larilah ia sehingga tujuh kali dari Safa ke Marwah melalui jalan sama tanda tidak berputus asa. Lelah. Namun berputus asa tidak sekali! Sehinggalah datangnya janji Allah buat orang yang berusaha dengan kurniaan mata air melalui tapak kaki kecil Nabi Ismail yang dikenali air zam-zam sehingga kini.
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesebuah kaum melainkan mereka mengubahnya sendiri” (Ar-rad, 13:11)
Andai semua wanita bercermin kepada Siti Hajar, alangkah indahnya. Biarpun begitu berat ujian dariNya, beliau tetap menjadi wanita yang bahagia. Selalu sabar dan tak pernah membantah dengan keputusan-keputusanNya. Iman menghiasi dirinya sekalipun amat berat pengorbanan yang harus dilakukan. Kehebatan iman ini jugalah sebagai bekal dalam mendidik si anak kecil bakal bergelar Nabi, bekal menempuh ujian yang lebih mencabar bagi merelakan Nabi ismail disembelih atas perintah Allah!
Sememangnya wanita diciptakan Allah makhluq yang unik dan mempunyai kehebatan dalaman yang luar biasa. Ambillah kisah Siti Hajar ini sebagai panduan dalam kehidupan dan menurutinya menjadi wanita yang solehah, kuat dan teguh. Tambahan pula ujian kita tidak lebih besar dari ujian yang diberikan Allah kepada beliau. Selamat belajar duhai wanita. Belajar dari kisah menakjubkan salah satu wanita hebat sepanjang zaman. Selamat memilih untuk menjadi wanita solehah, yang senantiasa mentaatiNya, mencintaiNya tanpa syarat.
Roszida Bt Kamaruddin
Naib Presiden 2
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)