“Kebaikan itu bukan sahaja untuk diberi, bahkan kebaikan itu perlu dikongsi”
Berpaksikan kata-kata ini, seorang pemudi teguh berdiri menongkah derasnya arus lautan kehidupan, menangkis tajamnya tusukan duri perjalanan. Hidup ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk banyak memberi kerana hanya dengan memberi maka dengin izin Allah kita akan lebih memiliki dan menghargai.
Lantaran kecekalan dan semangat juang yang tinggi dalam apa jua yang dilakukan, sememangnya saudari Rabialtu Sulihah Binti Ibrahim wajar menjadi ikon kepada para beliawanis. Beliau yang mesra disapa sebagai Sulihah atau Su merupakan pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia. . Pembina Johor dengan rasa bangga dan teruja ingin berkongsi pencapaian dan kejayaan yang telah diraih oleh ikon beliawanis yang tinggi dengan sifat rendah diri ini.
Tanggal 12 Mac 1991, lahirlah seorang puteri sulung kepada pasangan Ibrahim bin Awang Chik dan Rokiah bt Mohamed. Puteri comel ini juga merupakan anak ketiga daripada enam orang adik beradik. Sulihah dilahirkan dan dibesarkan di Kuantan Pahang Darul Makmur. Membesar sebagai kakak sulung, Sulihah merasa bertanggungjawab untuk menjadi contoh dan teladan bagi adik-adiknya yang lain. Beliau sedar hanya dengan ilmu manusia itu dapat menyuluh jalan hidupnya dengan nilai Islam dan iman serta menjadi manusia yang berpendirian teguh, seteguh karang di lautan
Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdullah Kuantan dari tahun 1998 hingga tahun 2003. Seterusnya, beliau meneruskan pengajian peringkat menengah rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Kuantan dari tahun 2004 hingga 2005. Kecemerlangan yang diraih ketika peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan keputusan 8A telah melayakkan beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang Darul Makmur.
Seterusnya, pada bulan Februari 2009, beliau pada usia 18 tahun telah berjaya menjejakkan kaki ke menara gading yang diimpikannya. Beliau telah terpilih mengikuti Program Ekspres Mara Skim Pelajar Cemerlang di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor selama 5 bulan sahaja. Pelajar-pelajar yang ditawarkan mengikuti program ekspres mara ini merupakan pelajar-pelajar MRSM seluruh negara yang mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selain melengkapkan diri dengan pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, Sulihah menyedari bahawa usia mudanya juga perlu dimanfaatkan dengan aktiviti berpersatuan, bersukan dan kepemimpinan. Penglibatan aktif dalam aktiviti bukan akademik ini banyak membantu dalam membina kemahiran insaniah individu seiring dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa modal insan di Malaysia. Antara jawatan yang pernah disandang beliau semasa menuntut di bangku sekolah adalah sebagai Pengawas Koperasi di SMK Paya Besar dan Lembaga Disiplin Pelajar di MRSM Muadzam Syah. Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Bendahari Kelab Keusahawanan Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) UTM selama setahun, jawatankuasa program Resak Sports Day di KTDI dan jawatankuasa Chemical Intelligent Camp 2011 untuk pelajar tahun satu kursus Kejuruteraan Kimia. Walaupun sibuk dengan tugasan akademik, aktiviti kolej dan persatuan fakulti, Sulihah tetap mampu memberikan komitmen dengan badan bukan kerajaan (NGO) yang dianggotainya iaitu Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA). Penglibatan beliau yang aktif dalam Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Johor membolehkan beliau menjawat jawatan sebagai Jawatankuasa Aktivisme Mahasiswa (JKAM) bagi tahun 2012. Sepanjang menyertai PEMBINA, beliau telah dilantik menjadi jawatan kuasa untuk program-program anjuran Pembina iaitu AJK Tempat dan Logistik program motivasi STEP(Step Towards Excellence People), AJK Makanan bagi program Eksplorasi Ukhwah, AJK Pengangkutan Zero to Hero serta AJK Aktiviti bagi program lawatan ke rumah orang-orang tua, Jaulah Secangkir Kasih.

Pepatah Melayu ada menyebut, Yang Bulat Tidak Datang Bergolek Yang Pipih Tidak Datang Melayang. Sememangnya kejayaan seseorang itu bergantung kepada usahanya untuk mencapai kecemerlangan yang ditaksirnya sendiri. Ukuran kejayaan tidak terbatas pada yang bersifat zahir dan material sahaja. Sebaliknya, kejayaan itu lebih bermakna andai diambil kira dari aspek maknawi yang bersifat hakiki. Oleh itu, tips kecemerlangan yang ingin dikongsi oleh ikon beliawanis ini adalah supaya semua belia dan beliawanis terus berusaha gigih dan berdisiplin mengejar impian masing-masing biarpun jatuh beberapa kali. Ujian itu lumrah kehidupan dan akan menjadi pemangkin untuk menjadi insan yang lebih berjaya kelak. Kehidupan adalah satu perjalanan yang panjang. Perjuangan harus diteruskan, bahtera perlu terus dikemudi dan berjalanlah tanpa henti.
Bait-bait nasihat khusus untuk para belia dan beliawanis, laksanakanlah setiap tanggungjawab yang diberi dengan amanah, dedikasi dan bersungguh-sungguh. Manfaatkan ruang yang ada dalam Pembina untuk menyebarkan kebaikan dan mengejar redha Allah. Sesungguhnya, kebaikan itu bukan sahaja untuk diberi, bahkan yang lebih penting kebaikan itu dapat sama dikongsi.