Pertemuan ekslusif PEMBINA dengan Dato’ Sri Ismail Sabri

18 April 2012, Selangor – Pertemuan ekslusif PEMBINA dengan Dato’ Sri Ismail Sabri di Menteri Di Kementerian Hal Ehwal Pengguna Dan Koperasi, Kerajaan Malaysia yang pada awalnya membincangkan isu subsidi tepung beralih kepada perbincangan isu pendidikan percuma telah mendapat respon daripada Dato’ Sri Ismail Sabri yang dahulunya merupakan presiden PMUM pada tahun 1983.

Wakil PEMBINA yang hadir bertanyakan adakah terdapat usaha-usaha daripada pihak kerajaan sendiri untuk menjadikan pendidikan percuma di Malaysia dan respon beliau adalah sepatutnya kerajaan pakatan terlebih dahulu membuktikan bahawa mereka berupaya memberikan pendidikan percuma di negeri-negeri yang dikuasai mereka lantaran mereka terlebih dahulu mencadangkan perkara ini.

Ini juga dapat dilihat bahawa kerajaan negeri yang sekarang ini sejak dahulu lagi telah cuba membantu mahasiswa untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik dengan menawarkan yayasan negeri seperti negeri Pahang dan sebagainya.

Menurut beliau lagi, PTPTN telah ditubuhkan pada tahun 1997 dan beliau mengingatkan bahawa isu pemansuhan PTPTN bukan sesuatu yang mudah dan perlu dilihat daripada pelbagai aspek. Solusi pihak pakatan dengan cuba menggunakan duit hasil PETRONAS untuk menampung kos pendidikan percuma dilihat tidak munasabah menurut beliau.

Sememangnya kerajaan mempunyai dividen dalam keuntungan PETRONAS namun berbanding kerajaan memfokuskan untuk menggunakan duit tersebut untuk tujuan individu (membayar hutang peminjam PTPTN) adalah lebih baik seandainya duit tersebut digunakan untuk memperbaikkan universiti dan melahirkan lebih ramai graduan. Ini adalah kerana, pada pandangan beliau jumlah pinjaman pendidikan yang sebanyak 43 billion dilihat  adalah mustahil untuk dihapus kira begitu sahaja.

Sambung beliau lagi, PTPTN dibuat dengan cara “ competitive method” iaitu mahasiswa perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan kelas pertama supaya mendapat pinjaman boleh ubah. Usaha 8 000 daripada 11 000 mahasiswa Cina telah membuahkan hasil apabila mereka layak mendapat pinjaman boleh ubah.

PEMBINA juga telah mengkaji sejarah PTPTN dimana tarikh bacaan rang undang-undang PTPTN adalah bertarikh 13 Mei 1997, yang dibacakan kali kedua dan ketiga oleh menteri pendidikan sewaktu itu, Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak.  PTPTN pula diluluskan pada 1 julai 1997 dimana ketika itu  Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah diberikan kuasa sebagai pemangku Dr Mahathir selama 2 bulan bermula dari 19 Mei 1997-29 Julai 1997. Oleh itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan  Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Hj Abd Razak dilihat sama-sama bertanggungjawab dalam meluluskan PTPTN.

Rentetan daripada apa yang telah berlaku di Dataran Merdeka baru-baru ini, PEMBINA melihat perlunya ada perubahan besar dalam melakukan sebarang tindakan oleh kelompok mahasiswa khususnya, dalam menuntut sesuatu perkara secara berdiplomasi dengan cara meminta penjelasan secara berhemah terlebih dahulu, seterusnya menghantar memorandum, mengadakan hubungan diplomasi melalui media dengan pihak-pihak berkenaan dan barulah melakukan demonstrasi sekiranya kesemua cara diplomasi ini tidak mendapat perhatian.

Bagi mengelakkan kekeliruan matlamat dan hala tuju, kelompok ini harus jelas apakah matlamat sebenarnya mereka untuk berdemo, adakah menuntut menghapuskan PTPTN atau menuntut pendidikan percuma atau menuntut hutang PTPTN dilunaskan kerana setiap perkara ini adalah berlainan antara satu sama lain.

1 thought on “Pertemuan ekslusif PEMBINA dengan Dato’ Sri Ismail Sabri”

  1. Arrazzi Alhafiz Alattas

    Saya melihat isu pendidikan percuma adalah satu manifestasi aspirasi rakyat marhaen.

    Kita tidak kisah perlu meminjam jika sekiranya memang kewangan negara tidak mampu membiayainya.

    Namun yang menjadi masalah ialah pemborosan raja dan parti pemerintah. Penyelewangan dan rasuah. Hartawan berhutang RM580 juta dilunas, rakyat miskin berhutang RM15000 diperas. Yang miskin bertambah miskin, yang kaya bertambah kaya.

    Kerajaan terlalu berkira dengan rakyatnya sedang dengan wang rakyatlah kerajaan bailout syarikat-syarikat hartawan negara. Kemudahan kewangan hanya berlegar sesama mereka.

    Morocco sebuah negara pertanian yang sebahagian besarnya gurun sahara pun mampu memberikan pendidikan percuma dari tadika sampai PhD.

    Apa negara sekaya Malaysia tidak mampu? Saya tidak fikir begitu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top