Disediakan oleh:
Nur Irdina Hakimah Binti NorAzali
JK Kajian dan Strategik PEMBINA Malaysia
- Semasa sesi perkongsian “Kickstart your Campus Life” bersama mahasiswa dan mahasiswi di UIAM Gombak berkaitan dengan apa yang kita boleh pelajari daripada generasi terdahulu dalam membina keilmuan, saya huraikan bahawa ia berkait rapat dengan nilai ilmu yang dijunjung tinggi, pengamalannya dan juga faktor kebijaksanaan pemerintah.
- Sultan Andalus pertama iaitu Abd al-Rahman b. Muawiyah al-Dakhil menjadikan pembangunan ilmu sebagai langkah pertama membangunkan Andalusia. Bermula dengan pembinaan masjid pada tahun 786H seterusnya membina perpustakaan yang besar dengan hartanya sendiri.
- Manakala, menurut Stanley Poole, al-Hakam memiliki lebih 400,000 buah buku dan kesemua koleksi tersebut hasil tulisan tangan dan dikatakan kesemua koleksi ini telah dibaca oleh sultan. Al-Hakam juga dikatakan sultan pertama membina universiti di Andalusia, malah menjadi penaung membiayai kegiatan ramai sarjana dan saintis Andalusia.
- Para sultan juga begitu akrab dengan ulama’, yang secara langsung mencerminkan keunggulan tradisi keilmuan Islam yang dapat dilihat menerusi contoh Ibnu Khaldun yang telah mempersembahkan karyanya “Al-Ibar” sebanyak 7 jilid kepada Sultan Zahir Barquq di Mesir dan Sultan Abu Faris di Fez.
- Justeru, budaya mengutamakan aspek pembangunan pendidikan, mencintai ilmu dan kepedulian yang tinggi dalam kalangan pemerintah terhadap ilmu dan ilmuwan ini, memberikan kita sebuah gambaran iklim keintelektualan yang tinggi di Andalusia.
- Jika pemerintah gagal memperjuangkan makna pendidikan sebenar dan tidak berlaku adil dalam mengemudi halatuju pendidikan, maka ia akan merencatkan pembinaan potensi manusia yang unggul, dan lebih malang manusia hilang pedoman tentang makna dirinya dan Tuhannya. Hal ini kerana, menerusi jalan pendidikan-lah yang akan membentuk pandangan alam “worldview”manusia.
- Pemerintah yang bijak dan adil tidak akan sewenang-wenangnya terpedaya dengan rancangan jahat musuh yang ingin menghancurkan jalan pendidikan Wahyu. Apatah lagi, sehingga terjeremus menjadi sebahagian proksi yang menjayakan agenda diabolisme intelektual.