Disediakan oleh:Waeil Al Fawwaz
Pengerusi PEMBINA Pulau Pinang
1. Pada hari artikel ini ditulis,dunia telah menyaksikan kemenangan bergaya sekali lagi presiden AS ke- 47,Donald J.Trump yang berjaya merebut kembali posisi beliau di dalam rumah putih di Washington DC yang telah menjadi suatu simbol kuasa sejak ratusan tahun buat pemimpin Amerika Syarikat dalam mencatur hala tuju negara itu.
2.Penulis di sini mahu mengingatkan bahawa sejarah telah membuktikan terdapat beberapa siri perjanjian dan rundingan yang telah dilaksanakan oleh Trump yang banyak merugikan kedaulatan dan keamanan tanah dan nyawa milik umat islam di Timur Tengah khususnya di Palestin yang sudah semestinya telah membawa kepada tercetusnya perang Saiful Quds pada tahun 2021 dan Taufan Al Aqsa pada tahun 2023.
3.Masih ingatkah kalian akan peristiwa pada tahun 2017?
Trump dengan beraninya mengisytiharkan BaitulMaqdis sebagai ibu kota negara baharu Israel yang pada sebelumnya ialah Tel Aviv.
Keputusan ini telah membawa kepada suatu naratif baharu kepada dunia antarabangsa bahawa Amerika
Syarikat sememangnya menyokong hasrat Israel dalam menjadi suatu kuasa negara baharu yang berdaulat di Timur Tengah.
4.Tahun 2019 pula membawa Israel berjaya meluaskan wilayah rejim jajahan mereka apabila Donald Trump bersama Benjamin Netanyahu sendiri menandatangani pengisytiharan kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan yang ditawan daripada Syria pada tahun 1967 setelah permohonan pengisytiharan kedaulatan itu tidak dilayan oleh mana-mana Presiden Amerika Syarikat sebelum beliau.
5.Tidak cukup dengan itu,pada tahun 2020,Trump telah menjadi jaguh watak utama dalam menormalisasikan hubungan negara arab yakni UAE dan Bahrain dengan Israel selepas Mesir dan Jordan. menyertainya pada pasca perang Arab-Israel 1967.Pengkhianatan ini ditambah lagi rencah kepedihannya apabila Sudan menjadi negara Arab kelima yang menormalisasikan hubungannya dengan Israel pada beberapa bulan berikutnya.
6.Rundingan yang dijenamakan sebagai Abraham Accords memfokuskan persefahaman kerjasama pelbagai sektor yang kononnya akan meningkatkan aliran ekonomi dan pembangunan ketenteraan negara arab yang menormalisasikan perjanjian tersebut.Negara arab yang sepatutnya menjadi penyokong utama perjuangan rakyat Palestin yang sudah ditindas puluhan tahun oleh Israel sudah berjaya dilunakkan demi kepentingan dunia mereka yang dianggap lebih aula’ daripada ikatan persaudaraan akidah antara mereka
7.”Do what you must do”
Itulah ungkapan Donald J Trump kepada Perdana Menteri Israel melalui panggilan awal bulan Oktober 2024 yang merajuk kepada kerja pembantaian Israel kepada penduduk Gaza.Ungkapan ini jelas membuktikan akan ketidakpedulian Trump terhadap nyawa umat Islam di sana yang merekodkan lebih 42,800 nyawa yang telah syahid pada saat panggilan itu dibuat!
8.Tidak dilupakan,bahawa mereka yang berada di sekeliling Trump ialah mereka yang merupakan pelobi pro-zionist yang telah menjadi penggerak majoriti utama dalam gerakan konservatif republikan di sana.Nama besar seperti Jared Kushner (menantu Trump) dan Mike Pompeo (setiausaha kerajaan AS) pada zaman pentadbiran beliau merupakan watak utama zionis yang banyak membantu beliau semasa dalam menguruskan hubungan antarabangsa beliau bersama Israel.
9.Kesyahidan Yahya Sinwar yang merupakan pejuang HAMAS yang terkorban dalam memastikan Palestin yang merdeka dan bebas daripada penjajahan Israel disifatkan Trump sebagai ‘laluan keamanan’ yang akan memudahkan Israel mencapai matlamat akhirnya dalam memastikan mereka menang dalam peperangan kali ini.
10.Umat Islam di Malaysia seharusnya sedar bahawa kemenangan Trump di Rumah Putih adalah petanda penjajahan Palestin yang lebih halus memandangkan ini penggal terakhir beliau (seorang presiden AS hanya mampu berkhidmat 2 penggal sahaja).Sudah semestinya Trump akan berusaha untuk finish the job segala hasil usaha beliau dalam memastikan cita-cita Israel Raya tercapai!
11.Penulis menutup kalam ini dengan satu potongan ayat Al Quran sebagai pengajaran kepada umat Islam agar kita jangan sesekali bergantung nasib pada kuasa luar dalam isu melibatkan pembebasan untuk kedaulatan Tanah Palestin yang merdeka.
ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ
[Surah Ar-Raʿd: 11]
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.