"Menunggu Kata Dari Tuhan"

Pedas, 6 Mac – Bidang seni merupakan salah satu medium dakwah yang boleh dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk mendidik masyarakat dengan nilai-nilai Islam. Inilah mesej penting yang telah diperolehi oleh ahli-ahli PEMBINA Negeri Sembilan yang rata-rata terdiri daripada para pelajar Kolej UNITI Port Dickson selepas menyaksikan persembahan teater bertajuk “Menunggu Kata Dari Tuhan” yang dibintangi oleh pelakon terkenal tanahair Sabri Yunus dan diiringi gesekan biola oleh Sani Sudin Kopratasa.

Barisan penggerak teater “Menunggu Kata Dari Tuhan”.

Teater berbentuk kisah biografi daripada sebuah hadith Shahih Muslim ini menceritakan penderitaan emosi yang dirasai oleh Ka’ab bin Malik, seorang sahabat Nabi yang telah diboikot oleh seluruh umat Islam sebagai hukuman akibat tidak keluar berjihad dalam perang Tabuk. Persembahan teater ini telah diadakan di Dewan An-Nur, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas sempena Karnival PSS Jom-Gempar 2010 yang bertujuan mengutip dana untuk pusat sumber sekolah tersebut.

Teater yang berlangsung selama 45 minit itu membuka mata para hadirin tentang hadith yang cuba diketengahkan. Bermula dengan kecuaian Ka’ab yang tidak menghadiri perang Tabuk, sehingga turun wahyu bagi mengampunkan kesalahannya. Penghayatan Sabri Yunus yang membawakan watak Ka’ab dengan begitu baik berjaya menggambarkan penderitaan yang dialami oleh Ka’ab setelah seluruh penduduk Madinah tidak bertegur sapa dengannya, termasuk isteri dan keluarganya sendiri.

Setelah selesai persembahan yang amat menyentuh penghayatan ini, para hadirin turut diberi kesempatan untuk memberikan pandangan serta melontarkan soalan kepada barisan pengarah dan pelakon teater. Kebanyakannya memberikan komen yang positif dan memuji inisiatif yang dilakukan dalam berdakwah melalui seni teater ini. Menurut pengarah teater, ini merupakan persembahan kali ke-31 teater “Menunggu Kata Dari Tuhan” dan selepas ini akan diteruskan lagi kepada orang ramai di seluruh tanahair.

Sememangnya bidang seni seperti teater ini menawarkan peluang yang besar sebagai salah satu pendekatan dakwah terutamanya kepada golongan belia, lebih-lebih lagi sebagai alternatif kepada pelbagai bentuk hiburan yang kini menguasai minda masyarakat. Justeru itu ahli-ahli PEMBINA perlu berusaha meneroka bidang-bidang seni yang ada seperti teater, nasyid dan sebagainya bagi memanfaatkan bakat dan kreativiti belia, di samping mendidik masyarakat dengan kefahaman Islam yang betul.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top