Nilai Sekeping Keputusan SPM


Mengimbau kembali kenangan 10 tahun dahulu, ketika tangan terketar-ketar menyambut sijil keputusan SPM dari kerani sekolah. Anda mungkin menghadapi situasi yang sama atau mungkin lebih tenang dan yakin menghadapinya.
Pada hari keputusan diumumkan, saya telah dihubungi oleh beberapa orang adik-adik yang pernah menghadiri program-program PEMBINA yang lepas. Ada yang gembira tak terhingga…ada yang bersederhana dan redha …ada yang kecewa dan putus harapan. Pelbagai reaksi dan ragam. Bagi yg cemerlang, saya hamburkan ucapan tahniah dan pujian selain mengingatkan mereka kejayaan ni datangnya dari Allah dan padaNYA kita perlu bersyukur. Bagi yang kurang cemerlang, perbualan kami lebih kepada nada pujuk memujuk yang diselang-selikan dengan harapan dan motivasi.

Apa nilai keputusan SPM dalam kehidupan kita….?
Jawapan biasa..SPM penting sebagai penilaian utama untuk melajutkan pelajaran ke menara gading atau peringkat pendidikan yang lebih tinggi.
SPM juga sangat berkuasa sehingga boleh membolak-balikkan emosi dan perasaan.

Lagi….?

Mungkin sesetengah majikan akan membelek-belek sijil SPM untuk jawatan-jawatan rendah dan kurang kritikal sebagai contoh jurujual sambilan di kedai-kedai serbaneka atau yang seumpama dengannya.SPM yang menghantui kehidupan pelajar-pelajar sekolah menengah akan hanya bermakna untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya…tak lebih dari itu.

Janganlah salah faham dengan dengan kenyataan ini dan bukan juga merendah-rendahkan nilai keputusan SPM. Sekadar cuba berfikir dari sudut yang lebih rasional dan realistik. Saya cuba memberi harapan bagi pelajar-pelajar yang gagal mendapat keputusan yang baik dalam SPM. Bukanlah bermakna peluang mendapat masa depan yang baik telah tertutup jika gagal mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Sedar atau tidak, gejala sosial di kalangan lepasan SPM banyak berpunca dari kegagalan seseorang melanjutkan pelajarannya ke peringkat seterusnya. Sifat putus asa dan harapan menjadikan mereka bersikap pesimis dan negatif terhadap nasib yang menimpa mereka…apa nak buat, nasib badan! Maka berpeleseranlah remaja “kita” tanpa haluan ke sana sini.

Bukankah Allah telah berfirman dalam ayat ke-11 surah ar-Ra’du:
“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan mereka sendiri”
SPM bukan segala-segalanya dalam hidup…

Bagi yang cemerlang dalam SPM, keputusan ada bukanlah suatu jaminan untuk menjamin masa depan yang baik. SPM hanya “tiket” ke pintu masuk IPT. Di IPT lain pula ceritanya…..

Berapa banyak kisah yang kita dengan dengan gejala-gejala negatif di kalangan mahasiswa IPT tempatan yang sebelum ini berjaya mendapat keputusan SPM yang cemerlang. Dari seks luar nikah, penagihan dadah, sehinggalah ke masalah pelacuran.
Itu kes yang berat-berat. Tak kurang juga dengan daya saing yang lemah mahasiswa “kita” berbanding bangsa-bangsa yang lain. Keputusan yang cukup-cukup makan dan sikap sambil lewa di kuliah sangat sinonim dengan “kita”. Buktinya kita boleh lihat dengan membandingkan pencapaian mahasiswa “kita” dengan bangsa-bangsa lain. Berapa ramai jumlah “kita” yang berada di senarai dekan berbanding mahasiswa-mahsiswa lain yang begitu minoriti dalam populasi IPTA.

Bukan mengeji bangsa sendiri, Cuma mengapa daya saing mahasiswa-mahasiswa Melayu amat jauh ditinggalkan dengan bangsa-bangsa lain? Biasiswa dah dapat subsidi dah diberi, tapi masih tak cukup. Di lapangan temuduga, pelajar-pelajar kita sering mengalami kegagalan bersaing. “Kita” gagal menawarkan pakej yang lengkap sepertimana yang dikehendaki oleh majikan masa kini. Bila gagal dapat kerja, mulalah kecewa dan akhirnya lepak sana sini. Seolah-olah periuk nasi dan rezeki Allah telah tertutup baginya.

Sedar atau tidak, dianggarkan lebih 70,000 jawatan kosong di sektor awam dan swasta di dalam negara ini dan lebih 30,000 daripadanya terbuka untuk diisi oleh para graduan siswazah. Tetapi sikap tidak proaktif dan terlalu memilih kerjaya menjadi faktor mengapa masalah pengangguran di kalangan graduan “kita” masih tinggi. Keupayaan untuk menguasai perkembangan semasa di luar bidang pengajian amat terhad. Contohnya, graduan kejuruteraan hanya mahu jadi jurutera saja…. Jawatan lain tak minat. Kata mereka, ianya di luar bidang. Budaya pemikiran klasik di kalangan graduan “kita” ini harus dihakis untuk menjamin daya saing yang lebih kompetitif.

Di mana salahnya? Apa yang kurangnya dengan “kita”…?
SKIL KEHIDUPAN…..

Mohd Nasrul Muhaimin bin Mohd Taib
Pengerusi Pembina Terengganu
ir_mnm08@yahoo.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top