Program Latihan Kefahaman Asasi Islam

 

{dmotion}x5h77z{/dmotion}

ALHAMDULILLAH, pada 10 hingga 11 Mei 2008, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah menganjurkan Program Latihan Kefahaman Asasi Islam di Bandar Baru Bangi. Program latihan 2 hari ini telah dihadiri oleh ahli-ahli PEMBINA dari sekitar daerah Hulu Langat. Program yang bertemakan “..Inilah Islam!” mempunyai objektif untuk menanamkan kesedaran bahawa tanggungjawab dakwah Islam dipikul oleh setiap ahli PEMBINA dan bahawa Allah Taala akan mengurniakan kejayaan Islam melalui usaha manusia. Program juga bertujuan menyediakan medium untuk ahli-ahli PEMBINA berbincang strategi dakwah khusus di tempat masing-masing.

 

Program latihan ini adalah unik kerana ia berbentuk bedah buku, di mana para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membentangkan topik-topik daripada buku “Inilah Islam” karangan Sayyid Qutub. Program berkonsep sebegini merupakan julung-julung kali dianjurkan PEMBINA.

 

 

Program telah dirasmikan oleh Presiden PEMBINA sendiri, Dr. Kamil Azmi Tohiran yang mana dalam ucapan pembukaannya mengingatkan para peserta supaya meluruskan niat menghadiri program latihan ini iaitu untuk membela nasib ummat Islam dan seterusnya menggapai redha Allah melalui usaha-usaha dakwah. Beliau, dalam ucapannya yang ringkas, memberi penerangan sedikit mengenai tema program latihan dan berharap agar para peserta menggarap konsep-konsep yang ingin disemaikan melalui program ini.

Tajuk “Inilah Islam” yang dibentangkan oleh para peserta menerangkan kerangka agama Islam yang bersifat realistik untuk manusia, unik dari Allah, mudah, berpengaruh dan menepati fitrah. Di samping itu, sejarah juga telah membuktikan praktikaliti dan pengalaman Islam sendiri dalam memimpin dunia. Berbekalkan kualiti-kualiti tersebut dan garis-garis panduan yang mantap, kesimpulan yang dibuat adalah Islam merupakan sebuah agama yang berpotensi untuk kembali menyinari alam dan menyelesaikan kemelut-kemelut dunia. Namun, para pendakwah harus memahami dengan sejelas-jelasnya bahawa kejayaan Islam itu hanya dapat direalisasikan oleh manusia sendiri. Ketika itu, Allah akan memenangkan agamaNya.

 

إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. [13:11]

Pembentangan “Inilah Islam” berlangsung sepanjang hari pertama sehingga ke malam. Pembentangan dimeriahkan oleh para peserta yang banyak menyoal dan menjawab isu-isu yang ditimbulkan. Kesudian presiden PEMBINA, Dr. Kamil untuk terus menghadiri program juga banyak membantu dalam menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan.

Program latihan diceriakan lagi dengan aktiviti permainan riadah pada waktu petang. Aktiviti-aktiviti yang disediakan bukan sekadar menguji ketahanan fizikal tetapi menguji kemahiran berstrategi dan memerlukan ketajaman minda dan perhatian serta semangat setia kawan. Aktiviti riadah tersebut berjaya meninggalkan pengalaman manis dalam program latihan ini disamping merapatkan ukhuwwah dikalangan peserta.

 

 

Hari kedua pula berjalan dengan sesi bengkel “Perancangan Dakwah Setempat”. Dalam bengkel ini, secara umumnya, para peserta dibahagikan mengikut kawasan fokus. Setiap kumpulan dikehendaki menilai kemampuan dan potensi ahli-ahli PEMBINA di kawasan masing-masing seterusnya merancang perjalanan dakwah untuk tahun 2008. Setiap kumpulan kemudian akan membentangkan strategi dakwah mereka kepada semua hadirin program latihan. Para hadirin memberi kerjasama yang baik dengan membantu memberi komen-komen untuk memperbaiki perancangan setiap kumpulan disamping memberi sokongan padu kepada pelaksanaan strategi-strategi tersebut.

 

 

Program latihan telah diakhiri dengan ucapan penutupan oleh Dr. Ahmad Kamsani Samingan, yang merupakan Naib Presiden PEMBINA. Dalam ucapannya, Dr. Kamsani menegaskan bahawa tanggungjawab dakwah yang dipikul oleh ahli-ahli PEMBINA ini bukanlah tanggungjawab yang diamanahkan oleh persatuan, tetapi ia adalah amanah agung dari Allah Taala. Beliau kemudian mengingatkan bahawa setiap individu akhirnya akan dihisab berdasarkan amal masing-masing, bukan dihisab secara kolektif. Beliau juga menerangkan bahawa asas penubuhan PEMBINA adalah untuk mencipta arus perubahan Islam dalam masyarakat yang semakin hari semakin jauh dari Islam. Beliau lantas mengajak ahli-ahli PEMBINA untuk bersungguh-sungguh dalam dakwah agar Islam mencapai kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T.

Sebelum bersurai, para peserta disajikan dengan sebuah video ringkas yang mengimbas kembali kunci-kunci dalam buku “Inilah Islam”, disamping mengenang detik-detik manis sepanjang program latihan ini.

Secara umumnya, Program Latihan Kefahaman Asasi Islam telah berjaya mencapai objektifnya yang menyedarkan ahli-ahli PEMBINA agar bersungguh-sungguh dalam dakwah Islam disamping bersifat aktif, realistik dan matang dalam merancang dan melaksanakan dakwah di medan masing-masing. Allahu A’lam.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top