Inikah Pemuda Pemudi Kita?

Pelajar- pelajar perempuan kelihatan berkumpul di satu meja yang diketuai oleh Fazrina, mereka diam seakan-akan terkejut. Kedatangan saya ke meja mereka langsung tidak dipedulikan.
“ Ada apa yang beriya sangat nih? Cikgukan suruh buat kerja.” Saya menyergah.
“ Cikgu tengok ni.” Ujar mereka.
Lalu mereka menyuakan sebuah handset ke tangan saya.Terlihat satu video yang amat menganggu fikiran saya selepas itu, langsung meremangkan bulu roma di tengkuk dan mendebarkan dada.
Video seorang wanita yang kelihatan lemah. Dia terbaring, diam. Di kelilingi oleh beberapa pasang kaki. Apa yang dilakukan oleh kaki-kaki itu? Kaki-kaki itu menyepak, menerajang dan menghenyak perut, punggung dan kepala si perempuan tadi.

Kelihatan juga ada beberapa tangan yang sibuk merakam kejadian itu, mungkin sebagai hiburan. Kejam , sangat kejam dan tragis. Seorang perempuan yang lemah dibelasah sehabis mungkin.
Video itu berakhir dengan sepasang tangan mengangkat sebuah batu blok yang selalu kita lihat untuk membuat rumah, lalu batu itu diHEMPUKkan di atas kepala perempuan malang tersebut.
Astaghfirullah.
Naudzubillah.
“ Kenapa boleh jadi macam ini?” Saya menyoal.
Anak murid saya mula bercerita, kejadian tadi kononnya berlaku di Sentul. Teman lelaki perempuan itu yang telah merancang perkara tersebut, katanya kerana masalah cinta tiga segi. Perempuan tersebut terlalu asyik memainkan lelaki yang akhirnya memakan diri sendiri. Katanya lagi lelaki tersebut telah dihukum gantung sampai mati dan permintaan terakhirnya ketika ditanya, ialah untuk menyanyikan sebuah lagu yang berjudul ‘Cinta Tiga Segi’.
Saya simpan cerita itu dalam hati dan terus- menerus beristighfar.

Cahaya
Inilah realiti belia kita hari ini. Apa yang digambarkan selalunya baik, bagus di dalam telivisyen tidak seperti yang sebenar. Ketika zaman nabi, perkara ini telah berlaku lebih dari 300 tahun, 300 tahun di dalam kejahilan dan kefasadan. Akhirnya Allah menghantar Muhammad untuk mengubah seluruh dunia.
Seorang manusia kerdil mengubah dunia?
Mampukah dia? Namun kini telah terbukti Muhammad mampu.
Namun perkara jahiliyyah seakan kembali, sama seperti era Muhammad. Siapakah yang akan mengubahnya? Akan adakah lagi nabi selepas Muhammad?
Wahai belia,
Kitalah yang sepatutnya menyambung risalah yang dibawa oleh Muhammad. Kitalah orang yang sepatutnya melakukan apa yang telah Muhammad lakukan. Kitalah sepatutnya memberikan cahaya kepada belia lain yang sememangnya menantikannya. Kitalah yang harus bangkit melawan era jahilliyah seperti Muhammad melawannya. Kalau bukan kita siapa?
Mahukah kita menunggu sehingga yang menjadi mangsa( seperti di dalam video itu) adalah adik kita? Atau kakak kita? Atau ibu kita? Atau nenek kita?
Mahukah kita menunggu sehingga yang memukul itu adalah adik kita,?Atau ayah kita? Atau abang kita?
Kalau bukan kita yang bangkit, siapakah lagi?
Bila lagi kita mahu bangkit menyeru dan memberi cahaya sinar kepada mereka?
10 tahun lagi? Tunggu dah bekerja? Tunggu dah kaya?
100 tahun lagi? Tunggu dah mati? Tunggu selepas datang azab kubur?
Kalau bukan sekarang kita bangkit, bilakah lagi?
Untuk belia yang sudah jauh menyimpang,
Jangan berputus asa pada rahmat dan hidayah Allah. Pintu taubat sentiasa terbuka, cahaya mentari sentiasa ada. Pasti akan datang seribu lagi cahaya sebagai peringatan memberi hidayah.
“Allah (pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya, seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita iu di dalam tabung kaca, (dan) tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkahi,( iaitu ) pohon zaitun yang tumbuh tidak di timur dan tidak pula di barat, yang minyaknya hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah memberi petunjuk kepada cahayaNya bagi orang yang dikehendakiNya, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”(24:35)

Wahai belia,
Jika engkau dongak ke langit dan tidak dapat melihat sebarang cahaya, janganlah rasa kecewa kerana di sebalik awan nun jauh di sana masih lagi ada cahaya, yang akan menyinarimu di setiap waktu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top