Hari ini (Khamis) menyaksikan genapnya 60 tahun bumi Palestin dijajah dan diratah oleh kezaliman Yahudi dan Zionis. Peringatan ini bukanlah suatu bentuk sambutan, bahkan ianya untuk membuka mata dan menyedarkan umat Islam seluruhnya bahawa sudah 60 tahun kita membiarkan bumi Al-Aqsa dirosakkan oleh Yahudi dan sekutunya. Apakan tidak, keperitan penderitaan 60 tahun ini bukan hanya ditimpakan oleh penjajah, bahkan mereka bertambah sengsara disebabkan kebanyakan pemimpim negara-negara umat Islam tidak membantu dan membisu akibat takutkan Amerika dan Negara-negara Barat yang lain.

60 tahun An-Nakbah
Bermula dengan penjajahan oleh British pada 1917, yang kemudiannya membuat penghijrahan Yahudi secara terancang masuk membanjiri Palestin, akhirnya menyerahkan bumi Islam ini kepada pendatang Yahudi pada tahun 1947 dan tertubuhlah negara haram “Israel”. Satahun kemudian (1948), PBB dengan rasminya mengiktiraf negara haram “Israel”. Peristiwa hitam inilah yang dikenali dengan An-Nakbah (malapetaka), yang berlaku pada 15/5/1948.
Pelarian di Bumi Sendiri
Setelah 60 tahun penjajahan, rakyat palestin bagaikan merempat di negara sendiri. United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees (UNRWA) melaporkan kini terdapat lebih daripada 4.4 juta pelarian Palestin di berpuluh-puluh kem pelarian yang berada dalam keadaan yang dhaif dan menyedihkan, bahkan tidak cukup dari segi kemudahan asas.

Sampai bilakah kita harus terus menghitung ulangtahun peristiwa An-Nakbah ini? sampai bila pulakah rakyat Palestin harus menanggung derita dan sengsara walaupun bilangan umat Islam hari ini bukan sedikit? Ayuhlah kita memainkan peranan membantu sedaya upaya kita mengembalikan Palestin kepada rakyatnya yang berhak. Baik melalui bantuan kewangan, makanan, pakaian, tulisan, ceramah, peringatan melalui media massa, blog dan sebagainya, sudah pasti setiap usaha kita akan dikira dan bernilai di hadapan Allah S.W.T.