Kota Bharu, 21 November: Menggalas tugas sebagai badan NGO Islam, PEMBINA Kelantan bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah menganjurkan Program Derma Darah dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bertempat di Pusat Dagangan Kota Bharu, di sini.
Dengan fokus untuk mengumpul darah daripada penderma Muslim, program telah bermula seawal jam 11.30 pagi di aras utama bangunan yang menjadi mercu Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam itu. Seramai 30 orang orang sukarelawan PEMBINA Kelantan telah turun padang bagi
mengatur gerak kerja untuk memastikan kelancaran program hingga ke akhirnya.
Bagi pihak HUSM, usaha ini amat disokong oleh pihak hospital memandangkan kebanyakan darah yang ada di tabung hospital itu adalah datang daripada penderma bukan Islam. Hampir 85% darah adalah dari bukan muslim manakala bakinya yang hanya sebanyak 15% daripada jumlah darah yang diderma adalah daripada muslim. Situasi ini agak membimbangkan dan tidak memenuhi keperluan semasa kerana rata-rata pesakit yang menerima darah hari ini adalah dari kalangan orang Islam.
Program yang berlangsung selama hampir empat jam itu menyaksikan penglibatan oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuklah belia dan pelajar sekolah. Jumlah penderma darah yang menderma adalah melebihi bilangan yang disasarkan. Hal ini memberikan pihak PEMBINA Kelantan satu maklumbalas yang baik dan ia harus diteruskan lagi untuk masa hadapan dengan program-program yang lebih pelbagai serta menarik.
Pengerusi PEMBINA Kelantan, saudara Malik Riduan mengsekpresikan rasa syukur terhadap reaksi positif yang diterima. Baliau berharap agar masyarakat lebih terbuka terhadap program-program sebegini.
Dengan usaha bertungkus lumus oleh pelbagai pihak, program berakhir dengan jayanya pada pukul 3.00 petang. Terima kasih diucapkan kepada gerak kerja Unit Transfusi Darah HUSM dan ISMA di atas kerjasama yang diberikan. Daripada program ini, pihak PEMBINA Kelantan berharap agar PEMBINA dapat dikenali dengan lebih dekat oleh masyarakat Islam khususnya sebagai satu wadah untuk mencapai kepentingan bersama.
Unit Media PEMBINA Kelantan.