Perubahan Demi Masa Depan

Segala puji-pujian bagi Allah Tuhan sekelian alam, selawat dan salam untuk Rasullullah, ahli keluarga serta para sahabat dan pengikut baginda.

Saudara dan saudari yang dirahmati Allah,

Berubah, merubah dan perubahan adalah diantara perkataan yang sering kita ucapkan dalam kehidupan kita seharian dan perkataan-perkataan ini akan memberi pengertian yang amat besar sekiranya kita benar-benar menghayati dan melaksanakannya. Sekiranya kalimah ‘laailaha illallah’ disifatkan sebagai kalimah yang ringan di lidah dan sangat berat di ‘timbangan’, perkataan-perkataan di atas juga akan membawa maksud yang sama, sesuatu yang mudah untuk dituturkan tetapi sukar untuk dilaksanakan.

Saudara dan saudari,

Melihat kepada keadaan manusia hari ini, terutamanya generasi muda, adalah suatu realiti yang amat menakutkan terutamanya apabila diukur dengan keperluan kepimpinan masa hadapan. Bayang-bayang kemunduran atau kemusnahan sesuatu bangsa itu semakin hari akan semakin menzahirkan kelibatnya sekiranya keadaan ini tidak dirawat dan diubat. Oleh itu, kita sebagai generasi muda muslim, haruslah sedar dan bangkit mempersiapkan diri sekaligus mengambil peranan yang lebih besar dan mencabar. Marilah kita bersama seiringan mencurahkan segala usaha dan tenaga demi perubahan dan pembinaan generasi muda yang berpaksikan keimanan dan ketaqwaan serta penguasaan ilmu dan teknologi yang mantap.

Saudara dan saudari,

Perubahan dan pembinaan sikap menjadi sangat penting dikala fenomena kerosakan akhlak semakin meruncing. Tidak dinafikan bahawa dunia hari ini dipenuhi dengan golongan cendekiawan dan cerdik pandai dan juga sumber tenaga manusia yang ramai, tetapi rosaknya akhlak generasi muda hari ini akan menjadikan putaran roda pembangunan lemah tidak bermaya dan sinaran kegemilangan bangsa akan menjadi malap dan gerhana. Tetapi, ini bukan bermakna kita tiada ruang untuk melakukan apa-apa. Dihadapan sana ada peranan berat yang harus dilakukan untuk menggerakkan sebuah perubahan besar di masa hadapan agar lahir generasi baru yang berbeza; generasi harapan yang ditanam dengan keimanan yang mendalam dilubuk hati mereka; disuntik semangat dan kemahuan yang menggunung tinggi dijiwa-jiwa mereka yang merdeka dan disuburkan dengan ilmu dan thaqafah (pengetahuan) sebagai penunjuk jalan yang terang. Seterusnya, dibimbing potensi dan kekuatan mereka agar lebih terarah dan berkembang supaya akan terbentuk jatidiri dan generasi muda yang gemilang.

Saudara dan saudari,

Sesungguhnya segala langkah perubahan ini seharusnya dimulakan dengan langkah pertama iaitu perubahan individu dan diikuti dengan perubahan manusia di sekelilingnya. Perubahan ini sekiranya dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, ia akan berjalan seiringan mengikut sunnah alam dan gelombangnya akan mengubah pantai-pantai dan tanah yang gersang satu persatu sehingga ia bertemu dengan aliran-aliran sungai yang mengalirkan air yang jernih dari gunung yang tinggi. Muka bumi ini akan menjadi subur dan menghijau ditambahi lagi dengan sinaran matahari yang terang dari langit. Sebagaimana ia telah dibuktikan di dalam sirah yang gemilang, sehingga terbitnya ungkapan dari individu yang menghayatinya: ‘Aqim daulatan islamiah fi anfusikum, saufa taqum fi ardikum’ (“Dirikanlah negara Islam di dalam diri kamu, nescaya ia akan tertegak di sekelilingmu”). InsyaAllah ‘.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top