Siapa Politikus Kampus ?

“Politik ni kotor la bro!”

Apabila kita bercakap mengenai politik, pasti segelintir daripada mahasiswa mempunyai pandangan yang negatif seperti gila kuasa, kotor, tipu sana tipu sini dan pelbagai lagi. Tidak kurang juga yang mempunyai salah tanggap terhadap politik apabila mengaitkan politik itu hanya kepada parti-parti dan pilihanraya.

Islam sebagai suatu cara hidup yang unggul dan sempurna tidak pernah sesekali memisahkan keperluan hidup manusia dengan agama. Politik Islam telah diterjemahkan dengan kontek yang lebih luas daripada takrifan politik sekular. Ini jelas terbukti apabila Islam menggunakan perkataan Siyasah yang bermaksud memerhatikan Ummah.

Menurut Al-Mawardi kepimpinan atau khalifah bermaksud meneruskan tugas Nabi Muhammad SAW dalam menjaga Agama dan mengurus dunia.

Politik ini ibarat pisau¸ ia akan memberi manfaat kepada manusia apabila dipegang oleh orang yang tahu fungsi dan menggunakannya dengan baik. Pisau digunakan tukang masak untuk memotong sayuran, dan pisau juga digunakan perompak untuk merompak. Maka jika hari ini kita melihat politik sebagai suatu yang kotor, maka jangan salahkan politik. Lebih baik kita memuhasabah orang yang berpolitik iaitu diri kita sendiri.

“PEMBINA terlibat politik?”

Tahun 2012 memperlihatkan PEMBINA melangkah maju kehadapan dengan slogan “Meneraju Arus Mahasiswa”. Sebenarnya, masyarakat hari ini sudah muak melayani kerenah segelintir mahasiswa yang radikal dalam tindakan mereka. Adalah menjadi tugas ahli PEMBINA bagi mengubah persepsi masyarakat ini dan membantu memimpin mahasiswa dalam menilai isu melalui neraca Al-Quran dan As-Sunnah.

PEMBINA melalui Jawatankuasa Politik Kampus ingin melahirkan mahasiswa yang cakna isu semasa serta respon secara aktif dan positif bagi membantu kepada pembangunan Agama, Bangsa dan Negara. Mahasiswa yang hebat bukan sahaja mengambil berat hal ehwal sekeliling, malah sedia memberikan penyelesaian yang terbaik. Dengan melibatkan diri dalam isu-isu masyarakat dan kampus, kita sebenarnya sedang berpolitik dengan gaya yang sihat. 

“Saudara ni ahli PEMBINA ke?”

Ya, saya ahli PEMBINA. PEMBINA jelas dan yakin pembinaan dan pembangunan jati diri mahasiswa adalah usaha yang murni, menuntut perancangan yang teratur dan terancang serta kesabaran yang tinggi dan berpanjangan. Pendekatan yang dibawa PEMBINA adalah pendekatan membangun dan membina, penuh dengan keikhlasan dan kasih sayang. PEMBINA menjauhi pendekatan menjatuhkan, memburukkan, merendahkan atau menghina individu, pihak, persatuan, badan atau organisasi lain.

Kita perlu bina tokoh mahasiswa hari ini bagi menjadi pemimpin Negara pada masa depan. Pemimpin yang unggul tidak lahir dalam masa sehari. Sejarah telah membuktikan bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh yang berjaya membebaskan kota Konstantinopel telah dibentuk hasil didikan ayahnya Sultan Murad 2 dan para gurunya. Begitu juga mahasiswa perlu mendapat didikan dan latihan yang kompresensif agar mampu menggalas beban, memberi penyelesaian kepada masyarakat berlandaskan timbangan Islam.

“Habis tu, siapa Politikus Kampus?”

Anda. Ya, anda yang sedang membaca artikel ini. Kalau bukan anda siapa lagi?

 

Muhammad Uzair Izzat Amir Bin Muhammad

JK Politik Kampus Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top