Berdasarkan statistik penduduk negara, sehingga akhir tahun 2008, jumlah penduduk Malaysia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun adalah seramai 11.2 juta orang atau 41 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 27.2 juta orang (Statistik Penduduk Malaysia, 2008).
Kumpulan terbesar ini juga di istilah sebagai golongan belia, tidak syak lagi merupakan penyumbang utama di dalam sektor ekonomi, sosial dan politik negara.
Rata-rata kumpulan ini belum lagi berada di peringkat pimpinan tertinggi di dalam semua sektor tetapi merupakan aktor-aktor yang akan menentukan kejayaan atau juga menggagalkan perancangan dasar negara ini.
Tahun lalu kepimpinan belia telah diraikan di dalam Majlis Anugerah Belia dan Persatuan Belia Negara yang dilangsungkan di Putrajaya. Ramai yang telah berjaya menerima pelbagai anugerah sebagai tanda pengiktirafan kerajaan kepada kegiatan belia negara. Mereka sekarang tentunya terus berbakti untuk pembangunan negara.
Bagaimanapun kejayaan ini bukanlah kejayaan mutlak kepada makna kejayaan pembangunan belia di seluruh negara. Laporan Institut Integriti Malaysia 2008 menunjukkan daripada sejumlah 11.1 juta belia di negara ini hanya dua juta sahaja atau kurang daripada 18 peratus sahaja yang belia berdaftar sebagai ahli persatuan belia.
Tentulah jika diperincikan yang aktif adalah kurang separuh daripada jumlah yang mendaftar sebagai ahli persatuan. Malah laporan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) pada 2006 menunjukkan bahawa sebenarnya kurang 2.8 peratus atau 300,000 orang sahaja belia sahaja yang benar-benar aktif di dalam persatuan belia di seluruh negara. Jumlah ini sebahagian besarnya datang dari program Rakan Muda yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Mengapa kebanyakan belia kini tidak berminat untuk aktif berpersatuan berbanding belia era 1960-an dan 1970-an. Penelitian dan kajian lalu berkaitan penglibatan di dalam persatuan belia mendapati tiga punca utama kelesuan ini yang perlu diteliti secara serius oleh kepemimpinan tertinggi di peringkat Kementerian Belia dan Sukan serta kepimpinan persatuan belia. Pertama, pengaruh politik kepartian di dalam persatuan belia. Secara prinsipnya, persatuan belia seharusnya berbeza dengan ideologi politik kepartian.
Mereka harus bertindak dan beraksi sebagai sebuah organisasi sivil yang berteraskan kebajikan, sukan, keagamaan, kesukarelaan, pendidikan dan sebagainya. Bagaimanapun persatuan belia hari ini sangat terikat sepenuhnya dengan kumpulan parti politik khususnya di pihak parti pembangkang. Kesannya sangat mendalam sehingga kebanyakan belia yang tidak minat berpolitik hilang minat untuk menganggotai persatuan belia.
Selain itu persatuan belia yang berpengaruh dikuasai hampir sepenuhnya oleh pengaruh ahli politik atau proksi mereka. Malah terdapat juga beberapa persatuan belia yang diterajui sendiri oleh ahli politik yang jelas mempunyai kepentingan politik apatah lagi menampakkan kecenderungan untuk beraksi seperti sebuah parti politik. Malah jika diteliti kepimpinan belia peringkat negeri dan daerah, kita boleh menyenaraikan puluhan pemimpin politik yang aktif berada di dalam persatuan belia di pelbagai peringkat.
Malah apa yang mendukacitakan, kepimpinan politik di pelbagai peringkat ini menggunakan platform persatuan belia untuk memantau pemimpin muda yang dikhuatiri memberi cabaran kepada penerusan jawatan politik mereka. Mana-mana pemimpin muda atau ahli persatuan belia yang aktif pastinya akan ‘dipancung’ supaya mereka tidak menjadi pesaing di dalam kerjaya politik peringkat daerah, bahagian mahupun negeri.
Faktor kedua ialah kegagalan pihak berkuasa menguruskan persatuan belia dengan dasar pembangunan belia. Hal ini bermula akibat kebimbangan pihak berkuasa melihat kelesuan persatuan belia sekitar tahun 1980-an. Maka beberapa kajian ahli akademik menunjukkan semakin banyak persatuan belia tidak lagi mendapat sokongan golongan belia khususnya di kawasan bandar.
Selain kepimpinan persatuan belia yang lemah, sistem pengurusan juga lemah. Begitu juga dengan laporan kewangan yang didapati tidak sempurna dan tidak memuaskan hati pihak Kementerian Belia dan Sukan walaupun kebanyakan persatuan terlibat mendapat geran tahunan kerajaan melalui KBS.
Suasana ini menyebakkan bermulanya usaha kementerian untuk mengambil alih dan mengemaskinikan sistem pengurusan persatuan belia di peringkat daerah dan negeri.
Malah Gerakan Belia 4B yang satu masa dahulu pernah dianggap sebagai model persatuan belia yang berjaya juga telah lesu dan hilang taringnya. Bagi menyelesaikan masalah ini pihak Kementerian Belia dan Sukan telah melaksanakan pelbagai program yang menelan belanja jutaan ringgit yang dipusatkan dan diuruskan terus di kementerian.
Antara yang paling popular ialah Program Rakan Muda yang masih dilaksanakan sehingga hari ini. Ringkasnya, pelaksanaan program belia yang berbentuk top-down nampaknya kurang berjaya menarik minat para belia.
Selain terpaksa berbelanja besar, program yang dianjurkan untuk pembangunan belia juga dilihat lebih bertujuan untuk meramaikan bilangan belia di dalam majlis semata-mata. Biasanya belia hanya dijemput atau diminta untuk menjadi peserta sesuatu program yang telah disusun lebih awal.
Tindakan sebegini dilihat sebagai memperkecilkan keupayaan belia untuk diberikan pengalaman sebagai pemimpin pelapis negara pada masa akan datang. Cubalah tinjau program khidmat masyarakat yang dilaksanakan oleh jabatan berkaitan belia, biasanya akan lebih ramai pegawai yang mengurus dan menjadi urus setia, para belia dijemput untuk mengambil bahagian secara ad-hoc dan menghadiri majlis perasmian dan makan-makan sahaja.
Pihak Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelajaran, IPTA dan IPTS harus lebih terbuka untuk memberikan peluang dan pengalaman kepada belia menguruskan segala hal berkaitan pembangunan belia. Kalau tidak, pasti belia akan ‘lari’ untuk melakukan aktiviti lain yang mereka rasa lebih rapat dengan mereka.
Oleh kerana bukan belia yang menganjurkan program untuk belia, maka tidak mungkin belia akan merasa itu adalah program dan agenda mereka. Pada mereka itu adalah agenda orang lain atau agenda politik semata-mata.
Faktor ketiga mengapa belia kurang berminat dengan persatuan belia ialah kegagalan pemimpin belia memahami dan meremajakan persatuan mereka dengan kehendak dan cita rasa belia masa kini. Maklumlah umur kebanyakan pemimpin belia biasanya sudah di ‘ambang senja’ sebagai seorang belia. Pemimpin belia rata-rata di kalangan orang yang minat berpolitik telah berumur antara 35 hingga 40 tahun.
Zaman keremajaan mereka sudah tamat sedangkan ahli-ahli yang masih muda dahagakan pemikiran yang lebih remaja. Ketidakmampuan pemimpin belia menghayati perubahan ini akan menyebabkan ahli-ahli baru berundur atau menjadi ahli tidak aktif.
Malah diketahui juga ada di kalangan pimpinan belia ‘berpolitik’ cenderung untuk melantik kalangan kroni mereka, tapi ahli persatuan belia inginkan ketelusan dalam pengurusan persatuan belia.
Ahli-ahli baru persatuan belia sekarang lebih suka kepada sukan lasak, muzik hip hop dan Indie, fesyen yang sangat berbeza dengan orang lama. Kemahiran ICT mereka juga berbeza. Pemimpin belia jika setakat hanya menguasai asas dalam komputer tidak akan digemari dan popular.
Pemimpin belia harus mahir seperti juga ahli belia remaja yang mahir dengan trend blog, twitter, facebook, myspace serta berbagai bentuk inovasi baru perkomputeran.
Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2006 telah pun dilaksanakan sepenuhnya. Akta ini antara lain bertujuan meningkatkan integriti belia bila para pemimpin yang melebihi umur 40 tahun tidak lagi layak bertanding untuk sebarang jawatan dalam persatuan belia di semua peringkat.
Selain itu, melalui Akta ini juga segala urusan pentadbiran belia diharap akan menjadi semakin cekap dan tersusun. Bagaimanapun kewujudan akta ini masih belum berjaya memecahkan kelesuan di kalangan remaja untuk menjadi ahli belia. Mungkin ada benarnya imej ‘Mat Skema’ dan ‘Mat Baju Batik’ yang begitu popular sedikit masa lalu di kalangan pemimpin dan ahli persatuan belia sudah tidak diminati lagi oleh remaja hari ini.
Walaupun jumlah wang diperuntukkan telah bertambah kepada aktiviti belia berbanding dulu, wujudnya akta yang menyokong perjuangan belia serta kemudahan ICT yang semakin baik, kelesuan penglibatan generasi muda semakin terasa.
Semangat belia perlu disemarakkan kembali. Konsep dan definisi perjuangan belia perlu diteliti semua. Campur tangan dan pengaruh politik dalam persatuan belia harus ditolak. Biarlah persatuan belia berjuang demi semangat pembangunan belia. Mereka ini perlu diberi peluang untuk berlatih supaya lebih bersedia untuk menjadi pemimpin satu hari nanti.
PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Akademik Kolej) Pusat Perkembangan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia
UTUSAN