Perkhemahan Belia Islam Nasional 2008

 

 

 

Tanggal 18 – 20 Julai 2008 mencoretkan satu lagi sejarah buat Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) kerana telah berjaya menganjurkan perkhemahan tahunan peringkat kebangsaan buat kali yang ketiga. Dengan tema “Meraih Ukhuwwah, Menuntut ’Amal, Melakar Sejarah”,  perkhemahan kali ini membawa peserta jauh ke pedalaman Kg Guar, terletak sekitar 25 km dari bandar Kuala Kangsar. Siri perkhemahan kali ini disertai oleh sekitar 180 orang peserta lelaki dan perempuan. Seperti tahun-tahun sebelumnya, perkhemahan PEMBINA tahun ini turut dihadiri pelajar pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran ke serata dunia termasuk Arab Saudi, Amerika, Jepun, Mesir dan United Kingdom.

  • Mencabar ketahanan fizikal

                                            

Antara aktiviti outdoor yang diadakan sepanjang perkhemahan adalah permainan ragbi padang, bola sepak berpasangan, jungle trekking, war games dan aktiviti-aktiviti teambuilding yang menarik dan penuh nilai (lihat video). Tidak cukup dengan itu sesi-sesi outdoor juga diselang-selikan dengan sesi tazkirah pembasah jiwa yang disampaikan oleh wakil PEMBINA dari pelbagai kawasan dari seluruh negara. Menurut survey di akhir program, terbukti sesi sebegini memberi kesan yang sangat positif kepada ahli-ahli PEMBINA terutamanya dari segi motivasi untuk memperbaiki diri dan mengikuti contoh baik ahli dari kawasan yang berbeza.

 

 

  • Peningkatan kefahaman

Pada sebelah malam perkhemahan, peserta disajikan dengan pembentangan dua tajuk besar iaitu ’Bidak-bidak Di Papan Catur Iblis’ oleh PEMBINA cawangan Hulu Langat dan ’Kejatuhan Baghdad’ oleh PEMBINA cawangan Gombak. Kupasan terperinci kedua-dua tajuk tersebut terbukti membuka mata para peserta akan fakta-fakta sejarah Islam yang menarik serta perancangan musuh dalam menjatuhkan Islam baik pada zaman dahulu mahupun sekarang. Maklumat sebegini sebenarnya sangat penting untuk diketahui oleh setiap individu Muslim.

 

  • Kebudayaan

Hari terakhir perkhemahan diserikan dengan persembahan oleh setiap kumpulan peserta. Kebanyakan kumpulan mencorakkan persembahan mereka untuk menggambarkan nilai yang didapati sepanjang perkhemahan. Mereka ternyata tidak melepaskan peluang untuk mempergunakan sebaiknya kelebihan unik setiap ahli untuk menjadikan persembahan lebih menarik dan memberi kesan mendalam kepada penonton.

 

 

Secara keseluruhannya, perkhemahan kali ini dilihat mencapai objektif yang dilaungkan pada temanya – “meraih ukhuwwah, menuntut ’amal, dan melakar sejarah”.  Ukhuwwah terjalin, motivasi ber’amal kembali membara dan latarbelakang sejarah sudah terlekap diminda, yang tinggal hanyalah untuk terus menolak diri dalam memaksimakan potensi peribadi setiap ahli.

 

Sehingga kita bertemu lagi di perkhemahan PEMBINA tahun hadapan !

{dmotion}x6bcnz{/dmotion}

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top