Amerika Syarikat merupakan lambang ketinggian tamadun Barat kini. Keupayaan ketenteraan yang tiada taranya serta pencapaian dalam pelbagai bidang di bumi bertuah tersebut memang tersohor dan boleh dikatakan, Amerika Syarikat adalah Ustaziatul Alam (Pemimpin Dunia) pada ketika ini. Ketinggian tamadun Amerika Syarikat diakui sendiri oleh penulis tafsir Fi Zilaal Al Quran yang masyur yakni As-Syahid Syed Qutb selepas tinggal sementara di negara itu, “Amerika memiliki segalanya kecuali roh” (roh Islam).
Peluang untuk berjaya yang dimanifestasikan sebagai “the American Dream” mengundang para imigran dari negara-negara luar untuk mencuba nasib, tidak terkecuali umat Islam. Berdasarkan sebuah laporan CNN, terdapat kira-kira 6 juta penduduk Islam di Amerika Syarikat. Ini menjadikan Islam agama kedua terbesar di negara itu selepas Kristian. Bagaimanapun, berbanding 1.4 billion umat Islam seluruh dunia, penduduk Islam di Amerika Syarikat masih sedikit.
Berikutan peristiwa 11 September 2001, pertembungan antara tamadun Islam dan Barat di zaman moden mencapai suatu tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Ini dibuktikan dengan penaklukan Amerika Syarikat ke atas Afganistan serta Iraq di samping persepsi umat Islam sebagai “pengganas” selepas peristiwa tersebut. Ini menimbulkan keresahan yang mendalam antara dua tamadun itu. Jika umat Islam di negara-negara Islam terasa bahang tekanan seperti kesusahan mendapat visa di samping pemeriksaan yang ketat di lapangan-lapangan terbang, bagaimana pula dengan warganegara Islam di Amerka Syarikat dan negara-negara barat lain itu sendiri?
Menurut Dr Walid A. Fatihi dari Sekolah Perubatan Harvard, Boston, Amerika Sayrikat, keadaan sebaliknya berlaku. Selepas peristiwa 11 September tersebut, masyarakat bukan Islam mula berminat bagi mengenali lebih lanjut tentang Islam. Dalam sebuah majlis anjuran Persatuan Islam Boston beberapa hari selepas peristiwa itu, lebih kurang seribu orang bukan Islam datang membanjiri tempat penganjuran dan bertanya tentang Islam dan ingin memahami ajarannya. Ramai yang hadir, rata-ratanya umat Kristian, menangis apabila mendengar ayat-ayat Allah dibacakan.
Firman Allah:
“Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persabahatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya kami ini orang Nasrani”. Yang demikian itu disebabkan karena di antara mereka itu (orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, (juga) karena sesungguhnya mereka tidak menyombongkan diri. Dan apabila mereka mendengarkan apa yang diturunkan kepada Rasul (Muhammad), kamu melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran (Al Qur’an) yang telah mereka ketahui (dari kitab-kitab mereka sendiri); seraya berkata: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka catatlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (atas kebenaran Al Qur’an dan kenabian Muhammad saw.)” Al-Maaidah: 82-83.
Menurut seorang pakar dalam laporan The New York Times pada Oktober 2001, kira-kira 25,000 orang memeluk Islam di Amerika Syarikat setiap tahun, manakala laporan lain menyatakan 100,000 orang setahun. Kebanyakannya adalah masyarakat kulit hitam Amerika diikuti golongan wanita tanpa mengira bangsa. Bahkan, 4 daripada 5 saudara baru ialah wanita, suatu ironi kepada tanggapan bahawa Islam menindas wanita.
Jika dilihat daripada fenomena global pula, tanpa mengira peristiwa 11 September, Islam merupakan agama kedua terbesar di dunia selepas Kristian dan merupakan agama nombor satu paling cepat berkembang di dunia. Sebuah laporan dalam Reader’s Digest pada tahun 1984 menyatakan, dalam tempoh 50 tahun sebelumnya (1934-1984), agama Kristian berkembang sebanyak 47%, penduduk dunia bertambah sebanyak 136% manakala umat Islam berkembang sebanyak 235%! Kesedaran Islam juga berkembang dengan positif. Sebagai contoh, dua dekad dahulu, amat sedikit wanita kelas pertengahan di Mesir memakai tudung namun kini, kita boleh dapati banyak emporium-emporium yang menjual busana-busana Islam. Begitu juga di tanah air kita sendiri di mana kita dapati nasyid telah menjadi sebahagian daripada muzik arus perdana dalam sedekad kebelakangan ini.
Kembali ke Amerika Syarikat, kita dapati, antara faktor-faktor yang mendorong indidvidu-individu memeluk Islam ialah usaha kendiri mencari kebenaran, peranan media dan laman web kelolaan orang-orang Islam, ajaran Islam itu sendiri yang bertepatan dengan fitrah manusia seperti hanya ada satu tuhan, serta tiada unsur perkauman yang ditunjukkan dalam Islam seperti semasa solat berjemaah. Semua ini menidakkan tanggapan bahawa “Islam disebarkan melalui mata pedang”. Kita dapati, kata kunci di sini ialah “dakwah”. Sungguhpun usaha kendiri mencari kebenaran turut memainkan peranan, namun usaha itu tidak akan berhasil tanpa sokongan para pendakwah Islam sendiri seperti penyediaan bahan bacaan tentang Islam, pencetakan Quran dalam bahasa Inggeris, dan kesabaran menerangkan dan menjawab pelbagai persoalan tentang Islam.
Sedari tadi perbincangan artikel ini banyak menyentuh fenomena Islam di Amerika Syarikat. Hakikatnya, Amerika Syarikat dianggap sebagai musuh Islam yang utama atas tindakan negara terbabit menyerang dunia Islam (Afganistan dan Iraq) serta menyokong penindasan berterusan zionis laknatullah terhadap umat Islam di Palestin. Namun, perkembangan Islam di negara “musuh” ini di samping usaha dakwah Islam di negara tersebut membawa sinar cahaya dalam dua bentuk kepada kita. Pertama, Islam mampu menyentuh hati manusia hatta di negara yang dikuasai orang bukan Islam sekalipun. Dalam konteks ini cahaya yang kita dapati adalah cahaya harapan kepada Deen Allah ini walau di mana jua, sekalipun di tengah-tengah kaum yang tidak beriman.
Firman Allah:
“Dia-lah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya di atas segala agama-agama meskipun orang-orang musyrik benci.” Ash-Shof: 9
Kedua, jika di negara “musuh” Islam, usaha dakwah mampu berkembang baik, bagaimana pula dengan negara yang secara tradisionalnya adalah Islam seperti Malaysia? Dalam konteks ini, cahaya yang kita dapati ialah cahaya keimanan yang luhur yang mungkin mengatasi kita.
Firman Allah:
“ Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang membutuhkan (Nya); dan jika kamu berpaling niscaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini).” Muhammad: 38.
Oleh itu, sebagai meraikan cahaya di ufuk barat ini, ayuhlah kita berjuang di medan dakwah ini dengan penuh semangat dan iltizam!