“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat “
Bertitik tolak dari seruan ukhuwwah dalam ayat inilah, PEMBINA cawangan Johor Bahru mengadakan rehlah untuk meraikan kedatangan dan merapatkan ukhuwwah pelajar-pelajar baru IPT-IPT di sekeliling bandar Johor Bahru ini.
Rehlah yang berkonsepkan ramah-mesra dan santai ini diadakan di Gunung Pulai pada hari Ahad, 10 Ogos 2008. Peserta-peserta rehlah berkumpul di pejabat PEMBINA di Skudai bagi sesi taklimat dan pembahagian tugas sebelum bertolak pada jam 9 pagi. Para peserta dikehendaki berkenalan dan bercerita tentang diri masing-masing sepanjang perjalanan ke destinasi. Banyak cerita-cerita rahsia dan menarik dapat dikongsi bersama melalui aktiviti ringkas seperti ini, sehinggakan ada cerita yang rakan sebilik sendiri pun tidak tahu!
Setelah tiba di kaki Gunung Pulai, peserta-peserta ber“jungle trekking“ sepanjang jeram yang berbatu-batu untuk tiba di kawasan air terjun di atas gunung itu. Trek yang dilalui adalah sederhana mencabar dari segi fizikal (dan juga serangan pacat), tetapi jaraknya agak jauh menyebabkan ada kumpulan peserta yang sampai awal dan ada yang lambat. Pengendali rehlah sengaja tidak menetapkan apa-apa ground rule sebelum memulakan trekking kerana ingin menguji semangat setia kawan dan bantu-membantu. Sebelum mandi di air terjun, tazkirah ringkas dan teguran disampaikan bagi mengingatkan peserta tentang betapa pentingnya ukhuwwah. Pengendali rehlah berharap agar ujian praktikal ini dapat diamalkan dalam kehidupan sehari-hari, selaras dengan salah satu hadis Nabi junjungan kita yang bermaksud biri-biri yang bersendirian dan lari dari kawanan lebih senang dibaham serigala.
Setelah mandi dengan puas, para peserta mengadakan ziarah ke rumah nenek kepada salah seorang ahli peserta, akhi Hidayat di Pontian. Pucuk dicita, ulam mendatang, para peserta yang rata-rata kelaparan dihidangkan dengan pelbagai masakan kampung yang lazat-lazat. Para peserta juga dapat memetik sendiri dan menikmati buah-buahan yang banyak ditanam di sekitar rumah nenek akhi Hidayat. Riuh dibuatnya! Semoga keluarga akhi Hidayat diberkati dan senantiasa dilimpahi rahmat Ilahi, Insya-Allah.
Di akhir program ini, satu sesi luahan perasaan dan soal jawab diadakan bagi menyimpulkan segala aktiviti yang diakan beserta dengan objektifnya sekali. Rata-rata peserta berasa gembira dan berpendapat, banyak nilai-nilai dapat difahami dengan mendalam melalui program-program outdoor seperti ini. Semoga tautan ukhuwwah dikalangan peserta berkekalan hendaknya.
Disediakan oleh
Wartawan PEMBINA Johor Bahru