BANGI, 16 Julai – Timbalan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Azril Hanafi menyeru semua belia Islam dan juga pengguna laman sosial seluruh Malaysia agar menjaga adab dan tatasusila supaya tidak sehingga menghina agama dan kaum lain.
Katanya, apabila menggunakan media sosial, integriti haruslah dijaga tanpa menyentuh sensitiviti agama dan kaum lain.
Setiap rakyat Malaysia mestilah berusaha menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan mengekalkan keamanan negara daripada sebarang pertelingkahan.
Beliau berkata demikian mengulas pasangan Alvin dan Vivian yang mencetuskan kemarahan umat Islam apabila memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh di Facebook dengan kapsyen “Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)…wangi, enak dan menyelerakan, serta meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.
“Saya lihat ini adalah satu tindakan yag biadap. Pelaku yang juga merupakan rakyat Malaysia seharusnya cakna dan sedar akan sensitiviti umat Islam di negara ini.
“Hatta sekalipun ia dibuat dalam keadaan bergurau senda tetapi setiap perkara ada batasnya.
“Saya kira tidak cukup sekadar hanya meminta maaf. Gambar tersebut telah dikongsi oleh ramai orang, ribuan manusia telah menjadi saksi akan perbuatan jahat dan biadap ini.
“Justeru, saya memohon kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan dan menjatuhkan hukuman selayaknya kepada pelaku,” ujarnya kepada wartawan ISMA.