9 Okt, Bangi – Bertempat di Pejabat Urusan PEMBINA Pusat di Bandar Baru bangi, buat julung-julung kalinya PEMBINA Pusat menerima kunjungan pimpinan PEMBINA cawangan. Ketua Cawangan PEMBINA Kedah bersama enam orang lagi rombongan
tiba pada jam 10 pagi dalam lawatan ke ibu negara untuk bertemu pimpinan PEMBINA Pusat, sahabat penggerak PEMBINA Cawangan Bangi seterusnya menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Presiden ISMA dan program SIRAH MUZIKAL anjuran PEMBINA Selangor yang berlangsung pada hari yang sama.
Dalam pertemuan selama kira-kira dua jam tersebut, kesempatan yang ada telah dimanfaatkan untuk saling berkenalan di antara pimpinan pusat dan penggerak di peringkat cawangan negeri Kedah, mendengar pembentangan pencapaian PEMBINA secara keseluruhan serta bertukar-tukar padangan berkenaan gerak kerja PEMBINA. Di dalam kesempatan yang ada ini juga telah dimanfaatkan oleh pimpinan terutamanya Presiden PEMBINA, Sdr Zaizul Azizi Zaman untuk menyampaikan harapan dan saranan-saranan secara khusus buat PEMBINA Negeri Kedah. Warga PEMBINA keseluruhannya meletakkan harapan yang tinggi buat pimpinan dan penggerak PEMBINA Kedah yang hadir untuk melaksanakan misi dan visi PEMBINA di bumi Jelapang Padi seterusnya menyampaikan mesej-mesej PEMBINA kepada belia-belia di Kedah.
Pertemuan berakhir pada jam 2 petang dengan sesi bergambar.