PEMBINA menolak kenyataan Datuk Mohamad Shahrum Osman

Merujuk kepada berita yang bertajuk “Belia harus manfaatkan konsert K-Pop” bertarikh 2 Disember 2013 di Sinar Harian oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Mohamad Shahrum Osman, PEMBINA menolak kenyataan ini sekeras-kerasnya. Apa yang disuarakan oleh beliau tidak melambangkan keseluruhan pandangan semua muslim di Malaysia.

Selaku seorang yang mempunyai kedudukan yang dihormati oleh masyarakat, beliau seharusnya menyeru belia terutamanya dikalangan anak-anak muda Melayu-Islam agar mempunyai pandangan alam “world view” yang betul dan jelas menurut syariat Islam. Seperti sabda Nabi s.a.w dalam riwayat al-Baihaqi; “Al-islamu ya’lu wala yu’la ‘alaih”- Islam itu yang tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya.

Alasan untuk mempelajari budaya dan bahasa negara kelahiran kumpulan K-Pop sangat tidak munasabah dan tidak boleh diterima sama sekali. Secara logik akal malah dalam tradisi keilmuan sendiri, ia amat bertentangan. Mempelajari budaya asing serta bahasa asing ada tempatnya, ada suasananya, dan ada gurunya.

Apakah dengan menghadirkan diri ke konsert yang sangat jelas menonjolkan aurat tanpa segan silu boleh dianggap sebagai majlis ilmu? Malahan pakaian yang dikenakan oleh kumpulan itu boleh diklasifikasikan sebagai bukan seksi tetapi terlalu seksi boleh mengundang rasa ghairah kepada nafsu kaum lelaki. Ini amat bertentangan dengan syariat Islam. Rujuk surah An-Nur ayat 30-31, bagaimana Allah telah menjelaskan untuk manusia yang beriman agar menjaga pandangan serta memelihara aurat dengan sempurna.

PEMBINA tidak menghalang niat murni untuk menggalakkan belia mempelajari budaya dan bahasa asing, malah PEMBINA menyokong pandangan ini kerana ia dapat membina kualiti dan keilmuan pada diri belia. Namun PEMBINA tidak bersetuju jika alasan ini digunakan bagi menghalalkan konsert K-Pop yang amat bertentangan dengan syariat Islam.

PEMBINA menyeru Datuk Mohamad Shahrum, agar menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama dalam setiap tindakan dan perlakuan kita sebagai muslim yang taat kepada Allah s.w.t. PEMBINA memohon agar kenyataan beliau dapat dibetulkan agar ia tidak disalah anggap oleh sebilangan besar belia-belia yang kelak merupakan generasi pimpinan masa depan negara.

PEMBINA juga menyeru kepada semua belia  agar menggunakan masa muda ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat yang dapat meningkatkan kualiti serta jati diri yang jitu. Lebih-lebih lagi sebagai seorang belia muslim, jadikan saat muda kita dipenuhi dengan pembinaan kefahaman Islam yang jelas dan tidak tersasar. Pelbagai bentuk serangan pemikiran yang sedang menyerang anak-anak muda perlu ditangkis dengan kekuatan jati diri.

Serangan pluralism, Islam liberal, syiah, hendonism dan banyak lagi adalah sebahagian daripada bentuk serangan yang tanpa henti-henti menyerang pemikiran golongan belia. Justeru PEMBINA menyediakan 4 pakej kepada belia diluar sana untuk membantu membina kekuatan jati diri antaranya pakej tarbiyyah, pakej kepimpinan, pakej BAKTI dan pakej rekreasi. Semuanya adalah untuk membina keperibadian Islam yang kuat dan jelas kepda golongan belia. Kepada yang berminat boleh layari www.pembina.com.my untuk info lanjut.

Nurul Aizam Zaini,
Pengerusi PEMBINA Melaka

IMG-20130830-WA0008

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top