PEMBINA Melaka Seru Kerajaan Serius Laksanakan Islam di Putrajaya

Setiausaha Agung UMNO yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan B. Tengku Mansor memberi syarat kepada mana-mana pengusaha yang ingin membuka “Hard Rock Café” di Putrajaya mestilah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan antaranya mengikut garis panduan Islam.

Walaupun cadangan ini nampak seperti satu solusi yang baik, tetapi ia sedikit canggung. Hakikatnya seluruh dunia mengetahui suasana dan aktiviti yang berlaku di “Hard Rock Cafe”, dengan hiburan-hiburan dan persembahan yang tidak mendatangkan manfaat kepada Islam, serta pergaulan yang bebas berlaku tanpa had dan batas syariat dijaga.

Usaha untuk mengislamisasikan “Hard Rock Café” ini baik tetapi bukanlah solusi yang terbaik jika Tengku Adnan benar-benar ingin melaksanakan Islam di Putrajaya. Islam jauh lebih besar daripada yang dicadangkan sebagai solusi kepada isu “Hard Rock Café” ini.

Jika benar mahu dijadikan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran yang 100% Islamik, maka ia perlu dimulakan dari asas yang benar-benar berlandaskan syariat. Bukan sahaja “Hard Rock Café”, malahan apa sahaja pusat hiburan yang tidak berlandaskan syariat tidak dibenarkan beroperasi di Putrajaya.

masjid putrajaya

Pihak pentadbiran Putrajaya juga harus bersungguh-sungguh merencana program pembinaan kefahaman Islam kepada seluruh penduduk Putrajaya, kerana pendidikan merupakan asas utama kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang syumul. PEMBINA mencadangkan agar kelas-kelas pengajian Islam dibuka kepada orang ramai secara percuma. Malahan, Putrajaya boleh dijadikan sebagai “Zon Menutup Aurat” seperti yang dilaksanakan di Masjid Putrajaya. Masyarakat bukan Islam juga sepatutnya tidak ada masalah untuk melaksanakan kempen ini kerana ia sememangnya budaya timur yang sentiasa menjaga adab dan kesopanan.

Selain itu, PEMBINA mencadangkan agar pihak pentadbiran Putrajaya perlu menjadikan Putrajaya sebagai kawasan yang menghidupkan masjid-masjid dan surau-suraunya dengan solat 5 waktu. Rencanakan aktiviti dan program-program yang mengajak masyarakat di Putrajaya agar lebih dekat dengan masjid dan surau. Lakukan kempen agar masyarakat suka untuk turun bersolat 5 waktu di masjid dan surau. Jadikan Masjid dan surau sebagai pusat sosial masyarakat.

Segala aktiviti-aktiviti dan penganjuran program di Putrajaya juga haruslah mematuhi syariat Islam. Tidak perlu lagi program-program Karnival Belia dianjurkan dengan menghidangkan persembahanartis K-Pop, dan lain-lain persembahan serta aktiviti yang tidak menjagasyariat Islam. Semua ini perlu dihentikan dengan kadar segera.

Bukan itu sahaja, malah jiran sebelah Putrajaya, iaitu Cyberjaya yang dipenuhi dengan syarikat Multinasional dan universiti-universiti juga harus dilibatkan didalam usaha membina sebuah pusat pentadbiran negara Islam yang benar-benar mematuhi syariat. Muamalah, transaksi perniagaan atau apa saja urusan perniagaan perlu menepati syariat Islam. Etika berpakaian dikalangan kakitangan syarikat serta pelajar universiti juga perlu diambilkira.

Sudah semestinya, segala cadangan dan saranan ini pertamanya harus dilaksanakan terlebih dahulu oleh pemimpin-pemimpin yang tinggal di Putrajaya. Mengajak masyarakat di Putrajaya turun bersolat di masjid dan surau, perlu terlebih dahulu dilakukan oleh pemimpin negara yang tinggal di Putrajaya. Pimpinan negara berjemaah bersama-sama bila ada kesempatan. Begitu juga perlaksanaan zon menutup aurat, pimpinan negara dan ahli keluarganya harus terlebih dahulu menjadi contoh yang baik kepada msayarakat sebagai ikutan yang baik.

Penulis sedar bahawa semua saranan ini bukan sesuatu yang boleh dilaksanakan dalam tempoh 1 atau 2 bulan.Ia adalah proses yang mungkin mengambil sedikit masa untuk mendidik serta memberikan kefahaman yang jelas kepada semua pihak yang terlibat. Tetapi inilah gambaran ringkas yang harus ada jika Putrajaya benar-benar mahu dijadikan sebagai sebuah pusat pentadbiran yang Islamik sesuai dengan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

NURUL AIZAM ZAINI
Pengerusi PEMBINA Melaka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top