PEMBINA kecam tindakan Paderi Andrew

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Pelbagai pihak terus mengecam kenyataan Paderi Lawrence Andrew supaya gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah Allah dan bahasa Melayu dalam perhimpunan mingguan.

Ada antara mereka menyifatkan kenyataan itu sebagai biadap kerana Pengarang The Herald itu seolah-olah tidak boleh menerima keputusan yang ditetapkan mahkamah negara ini.

Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Ibrahim Mohd. Hassan berkata, mustahil Andrew tidak menyedari bahawa Mahkamah Rayuan telah memutuskan larangan tersebut.

“Bukan itu sahaja, malah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan rakyat khasnya di Selangor akur kepada larangan pengunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

“Kita risau jika mereka masih berdegil dan perkara ini berlarutan, akidah generasi akan datang mudah terpesong akibat isu tersebut yang tidak dapat diselesaikan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay menyifatkan kenyataan Andrew itu sebagai tindakan yang tidak menghormati Perlembagaan dan rakyat Malaysia.

“Dia sepatutnya mematuhi undang-undang di negara ini kerana perkara ini telah diputuskan di mahkamah dan akurlah kepada titah Sultan,” katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Zaid Kamaruddin turut menyelar tindakan tersebut dan berkata, Andrew perlu lebih bertanggungjawab ketika mengeluarkan kenyataan.

“Kenyataannya itu boleh menyentuh sentimen orang ramai dan dia sendiri tidak perlu mengeluarkan kenyataan mengikut emosi dan perasaan walaupun telah memohon untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, seruan itu adalah selaras dengan titah Sultan Selangor yang mahu rakyat negeri ini tidak melakukan perkara yang boleh mengundang perasaan marah pihak lain atau menimbulkan kekecohan.

”Setiap rakyat Selangor mestilah memainkan peranan untuk mengekalkan keamanan dan kemajuan Selangor dengan tidak menimbulkan apa-apa syak wasangka antara satu sama lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sumber: Lagi kecam tindakan paderi Andrew , UTUSAN (1 Januari 2014)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top