BANGI, 13 Feb – Mafsadah (kemudaratan) jelas kelihatan dari sudut akhlak dan iman merupakan salah satu faktor umat Islam dilarang menyambut Hari Valentine.
Menurut, Setiausaha Agung Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Ustaz Suhail Sufian, perkara yang paling dirisaukan bukanlah isu akidah secara terus, tetapi adalah isu keimanan yang makin merudum.
“Apabila seseorang menyambut Hari Valentine, mereka mungkin tidak tahu sejarahnya, maka sejarah sambutan itu tidak akan memberi kesan terus kepada mereka.
“Namun kesan terus pada generasi ini adalah kehidupan atas asas nafsu sebagai tujuan dan keseronokan hidup,” tegasnya.
Suhail turut membangkitkan persoalan mengenai sambutan ini.
“Adakah menyambut Hari Valentine itu membuatkan pemuda lebih hampir kepada keimanan, akhlak, ilmu, kebudayaan yang baik mahupun kehebatan menjadi pemimpin? Jawapannya tidak!
“Maka generasi apakah yang bakal dibina dari perayaan Hari Valentine ini?” ujarnya yang merupakan lulusan dari Universiti Al-Azhar Mesir.
Beliau menambah supaya umat Islam tidak mendokong sambutan ini dengan membeli coklat, bunga dan lain-lain walaupun ditawar dengan harga yang murah.
“Sebahagian daripada kita gemar bermain dengan perkara syubhat dan tidak berfaedah. Pemuda yang tegas ingin meninggalkan budaya rosak dan berusaha menanam ketinggian pekerti tidak akan membeli coklat dan bunga,” jelasnya.
Ustaz Suhail menyampaikan hadis yang bermaksud,
“Sesiapa yang jatuh pada syubhat, maka dia akan (mudah) jatuh kepada perkara yang haram”.
“Maka, tanpa ketegasan, hanya tunggu masa sahaja untuk jatuh kepada perkara haram di dalam isu ini,” katanya.
Oleh Nashrul Izwan Aziz
Wartawan PEMBINA