JOHOR BAHRU, 24 Dis- Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Johor telah menganjurkan bengkel media yang bertempat di Pejabat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Johor, baru-baru ini.
Bengkel media yang memberi fokus pada latihan kewartawanan dan videografi ini berjaya mengumpulkan lebih kurang 35 orang peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi sekitar Johor Bahru.
“Umat Islam memerlukan kepakaran dalam bidang media.
“Musuh Islam menggunakan media untuk membuat propaganda dan memprovokasi umat Islam. Justeru, wajar untuk kita sebagai badan media Islamik untuk lebih ke hadapan bagi menjelaskan semula fitnah-fitnah yang telah dibuat oleh media Barat,” kata Ketua Media Cawangan Johor, Muhammad Rusydi Muhammad Razif dalam sesi taujihatnya bersama peserta bengkel media.
Ujarya lagi PEMBINA Johor mengambil peranan membangunkan ahli dalam bidang media dengan niat utama untuk membantu Islam.
“Peserta digalakkan untuk terus mengasah bakat dan menambahkan kemahiran dalam bidang yang lain sebagai persediaan menyiapkan diri sebagai umat Islam yang serba boleh,” ujarnya lagi.
Latihan kewartawanan dikendalikan oleh Nursabihah Mohtar, wartawan Majalah Al-Islam dan kursus asas videografi dikendalikan oleh Ibrahim Azran, juruvideo profesional.
Oleh
Khairiah
Wartawan PEMBINA