Laporan akhbar baru-baru ini terdapat cadangan dari kerajaan Perak untuk pengharamkan penggunaan vape. hal ini selaras dengan keputusan dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penggunaan rokok elektronik yang dilihat tidak memberi manfaat buat umat Islam.
Selain itu juga, dakwaan yang mengatakan penggunaan vape lebih selamat digunakan dan dapat menghilangkan ketagihan rokok konvensional ternyata tidak dapat dibuktikan dalam pelbagai kajian-kajian kesihatan.
Budaya Vaping juga menyebabkan masyarakat belia khususnya terjebak pada suatu bentuk ketagihan baru seawal usia remaja dan belia walhal tidak pernah ketagih dengan rokok konvensional sebelumnya. Ia ibarat merawat ketagihan dengan ketagihan yang lain.
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) selaku pertubuhan yang rapat dengan belia dan mahasiswa serta mahasiswi yang menuntut di menara gading menyeru untuk segenap lapisan masyarakat menolak sebarang gejala yang tidak sihat seperti ketagihan vape dan rokok elektronik yang ternyata meruntuhkan akhlak dan jatidiri belia.
Kita tidak pernah dengar pemuda-pemuda Al-Qassam yang saban hari berjuang membebaskan Al-Aqsa terlibat dengan gejala yang tidak sihat, sedangkan mereka adalah pemuda yang layak dicontohi.
Di atas kefahaman ini, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Ipoh menyokong penuh sekiranya ke semua institut pengajian tinggi dijadikan sebagai kawasan “Zon Bebas Rokok dan Vape” serta kempan kesedaran berterusan dilakukan.
PEMBINA Ipoh juga menyarankan Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk turut mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri ini. Ia adalah sejajar dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan pendirian negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Johor yang sepakat mengeluarkan Fatwa Pengharaman Vape dan Rokok Elektronik. Semoga pendirian ini akan lebih memberi kebaikkan kepada Ummah Sejagat. Insha Allah
Ustaz Mohd Ridzuan Bin Ahmad Mazaki
Biro Informasi & Kajian PEMBINA Ipoh