Kenyataan rasmi : PEMBINA bantah tindakan akhbar The Star menyiarkan gambar Erykah Badu bertatu ‘Allah’
Tindakan akhbar The Star menyiarkan gambar artis bertatu Allah baru-baru ini, menggambarkan ia tidak menghormati sensitiviti umat Islam walaupun akhbar ini telah beroperasi lebih 50 tahun di Malaysia. Imej artis bertatu Allah merupakan sebahagian daripada propaganda barat dalam mempromosikan gaya hidup liberal dan tidak menghormati agama apatah lagi agama Islam.
Oleh itu, PEMBINA menyeru agar profesionalisme kewartawanan perlu dijaga apatah lagi dalam menyentuh hal-hal yang sensitif yang berkaitan dengan isu agama. PEMBINA menyokong sepenuhnya tindakan Kementarian Dalam Negeri yang telah membatalkan konsert Erykah Badu yang dijadualkan diadakan di Kuala Lumpur rentetan penyiaran gambar tersebut kerana jelas ia bertentangan dengan norma budaya dan agama di Malaysia, sekaligus mempromosikan gaya hidup ala barat yang tidak sihat kepada generasi muda. Dalam masa yang sama, PEMBINA menyelar pihak-pihak yang mempertikaikan pembatalan tersebut atas dasar mempertahankan hak asasi manusia dan budaya jahiliyyah berleluasa.
PEMBINA juga ingin menyeru masyarakat umumnya dan mahasiswa khususnya sedar bahawa budaya hedonisme dan hiburan yang melampau merupakan salah satu faktor yang membunuh potensi belia dan mahasiswa di Malaysia. Selagi mana minda dan pemikiran kita masih dijajah oleh anasi-anasir yang merosakkan jatidiri, selagi itu aktivisme belia dan mahasiswa yang dilaung-laungkan tidak akan dapat dijulang. Gaya hidup barat merupakan punca kepada keruntuhan moral dan gejala-gejala sosial di Malaysia seperti pembuangan bayi, zina, arak, judi, dan lain-lain.
Oleh itu, generasi muda perlu kembali menghayati pemahaman dan amalan Islam yang sebenar dalam kehidupan seterusnya menjadi generasi masa hadapan yang memiliki cita-cita dan agenda besar. Semua pihak perlu memandang serius perkara ini dan mengambil peranan masing-masing. Di kala kita mencanangkan Wawasan 2020 negara kita, sebenarnya kita masih lagi tertanya-tanya, apakah model bangsa dan negara yang ingin kita bangunkan di masa akan datang.
PEMBINA menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan perlembagaan negara serta menghormati sensiviti agama di Malaysia keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama dapat dikekalkan.
Salman Abdul Rahman,
Setiausaha
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)