Pegangan prinsip wanita mempengaruhi pembentukan generasi harapan ummah

CYBERJAYA, 1 Dis – Wanita merupakan tonggak yang menjadi harapan kepada negara dan juga ummah. Prinsip yang menjadi pegangan wanita terhadap sebarang isu semasa akan menjadi seperti akar yang kuat apabila pegangan tersebut dibawa sehingga mereka menjadi seorang ibu.

Wanita juga perlu ada suatu keazaman bahawa merekalah yang akan menggoncang dunia melalui zuriat dan menerusi pendidikan anak-anak di masa hadapan.

Demikian menurut Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan USIM, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dalam ucapannya di Festival Beliawanis Nasional (FBN) baru-baru ini.

Tambah beliau, sejak zaman beliawanis lagi anak-anak yang hadir di sini (FBN) perlu sentiasa mempunyai suatu pendirian yang tegas terhadap apa-apa gejala negatif yang wujud kerana ia akan membentuk sikap dan pendirian mereka pada 5 tahun akan datang, ketika sudah bekeluarga.

Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut berkongsi sebuah kajian yang dilakukan di University of Washington mengenai sikap para ibu terhadap rokok yang dilakukan di sebuah sekolah rendah yang mempunyai pelajar lebih daripada 2000 orang.

“Dalam kajian tersebut, terdapat pelajar yang mempunyai ibu yang bersikap longgar terhadap rokok dan juga yang bersikap anti kepada rokok. Kedua-dua kumpulan ibu tersebut adalah dalam keluarga yang tidak merokok.

“Mereka mengkaji dan membuat susulan terhadap pelajar-pelajar di sekolah itu selama 9 tahun, iaitu sehingga mereka menjejakkan kaki ke sekolah menengah untuk mengenal pasti kelompok pelajar yang merokok dan tidak merokok.

“Keputusan kajian menunjukkan ibu-ibu yang sangat longgar terhadap rokok, 30 peratus daripada kumpulan kajian ini, anak-anak mereka merokok. Tetapi kumpulan ibu yang mempunyai sentimen yang tinggi dan anti kepada rokok, hanya 16 peratus sahaja anak-anak mereka yang merokok,” jelas Dr Rafidah.

Beliau mengulas lanjut mengenai kajian ini dengan mengatakan sikap ibu penting bagi menentukan kecenderungan anak-anak terhadap rokok walaupun mereka tidak dibesarkan dalam kalangan keluarga yang tidak merokok.

“Saya berharap FBN pada kali ini dapat memberikan peserta satu keazaman dan kefahaman yang kuat bahawa merekalah yang akan membentuk generasi akan datang,” tambahnya.

 

Wartawan

Farhanah Fauzi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top