Muharram

awal muharram

Satu Muharram menjengah lagi dan kita umat Islam sekali lagi menyambut Maal Hijrah. Sudah tentu kita mahukan sambutan tersebut membawa makna yang besar dalam hidup kita. Kita tidak mahu sambutan tersebut hanya kerana adat kebiasaan. Bagaimana untuk menjadikan sambutan tersebut lebih bermakna? Ya, dengan melakukan muhasabah dalam diri kita secara personal, menilai diri kita sepanjang tahun 1435 Hijrah yang lalu.

Adakah anda merasa jemu dan putus asa untuk bermuhasabah dan berubah? Jangan sekali!

Islam sangat menganjurkan umatnya untuk sentiasa bermuhasabah terhadap diri sendiri, dan selepas itu melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Tidak mengapa perubahan dilakukan secara sedikit demi sedikit, asalkan berterusan.

Mengapa perlu berubah? Adakah perlu berubah lagi walaupun terasa diri sendiri sudah cukup baik?

Jangan berhenti utuk melakukan perubahan. Sentiasalah memandang ke depan dan bercita-cita tinggi. Individu yang tidak rasa ada keperluan untuk dirinya menjadi lebih baik, dia sebenarnya berada dalam kerugian. Sangat rugi!

‘Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celaka lah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam’ –Saidina Ali-

Jadi, kita wajib utuk berubah ke arah yang lebih baik, bukan?

Bermuhasabahlah, fikirkan tentang akhlak anda, cara pergaulan anda, hubungan anda dengan keluarga, amal ibadah, amal organisasi dan lain-lain. Apa yang kurang? Apa yang perlu dibaiki? Adakah semuanya cukup membuatkan Allah redha kepada kita, atau ada perkara-perkara yang membawa kepada kemurkaan Allah.

Rancang perubahan dalam diri anda, dan bertindaklah!

Tiada lagi masa untuk goyang kaki, lalai dan bertangguh-tangguh untuk berubah. Sedar atau tidak, musuh Islam berada di mana-mana, dan tidak pernah berputus asa untuk menjatuhkan Islam dan negara, masyarakat dan diri individu Muslim itu sendiri. Sanggupkah kita melihat liberalisme, hedonism, dan sekutunya menginjak dan menghenyak agama kita sesuka hati? Berubahlah ke arah lebih baik. Jangan biarkan diri anda menjadi mangsa tipudaya musuh-musuh Islam.

Abdul Wahab Azzam dalam buku Ar Raqaiq ‘Ajarilah jiwamu untuk terbang tinggi, nescaya ia tidak akan suka dengan kerendahan. Kenalkan kepadanya kemuliaan, nescaya ia akan membenci kehinaan. Rasakanlah kepadana kesenangan rohani yang besar, nescaya ia akan meremehkan kesenangan jasmani yang kecil.

Leraikan diri anda dari zon selesa. Berubahlah, berkorbanlah untuk menjadi lebih baik. Tingkatkan jati diri kita sebagai seorang Islam. Mulianya kita hanya kerana Islam. Semoga segala usaha kita dalam melakukan perubahan dalam diri sendiri dan umat Islam diberkati dan diredhai Allah.

Mardhiah Mohd Shahabuddin

Ketua Beliawanis Kuching

Persatuan Belia Islam Nasional

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top