Motivasi Himpunan Anak-anak Kampung

Besut, 25 Disember – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) negeri Kelantan dengan kerjasama pengurusan Kelas Iqro’ Kampung Lak Lok telah menganjurkan sebuah program motivasi “Himpunan anak-anak kampung”. Program tersebut telah dihadiri oleh seramai 50 peserta lelaki dan 43 peserta perempuan. Ia bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.30 petang pada hari Khamis 25 Disember 2008 bertempat di Kelas Iqro’ Kampung Lak Lok, Jerteh, Besut Terengganu.

5 objektif utama yang hendak dicapai menerusi program tersebut ialah seperti berikut:

1. Membina kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap diri.
2. Menerapkan kefahaman iman, islam dan ihsan.
3. Menimbulkan rasa rindu untuk bertemu Tuhan.
4. Mewujudkan jaringan ruh, jasad dan akal berdasarkan kepada ayat al-Quran “Sesungguhnya solatku, ibadahku (pengorbananku) , hidupku dan matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam”.
5. Melahirkan generasi yang mempunyai rasa cinta, rindu, kasih dan sayang kepada (dua) kehidupan.

‘Banner’ yang menyambut kedatangan para peserta.

Program ini telah dihadiri oleh kanak-kanak yang berumur 6 tahun sehingga 16 tahun. Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada para peserta. Para peserta dibahagikan kepada 2 kumpulan; berumur 6-9 tahun dan 10-16 tahun.

Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh salah seorang peserta

Pengerusi bagi program motivasi tersebut ialah Ustaz Mohd al-Hadi bin Mohamad. Beliau memegang jawatan sebagai Ketua PEMBINA bagi kawasan negeri Kelantan termasuklah daerah Besut. Tiga orang wakil dari PEMBINA dihantar sebagai penceramah; Faiz Fuazi, Hafiz Alami dan Rafiuddin.

Kesemua peserta semasa mendengar ucapan alu-aluan pengerusi program

Selepas urusan pendaftaran selesai, semua peserta yang terlibat bersama-sama menunaikan solat sunat dhuha. Bagi memberkati majlis tersebut, bacaan al-Quran diperdengarkan oleh salah seorang peserta diikuti pula oleh ucapan alu-aluan dari pengerusi program. Selepas itu, peserta diasingkan mengikut kumpulan masing-masing dan majlis memulakan slot pertamanya yang menekankan aspek solat dari jam 9.15 pagi sehingga jam 10.15 pagi. Kudapan atau minum pagi disediakan dengan bihun goreng sebagai menu yang disumbangkan oleh penduduk di sekitar kawasan Kampung Lak Lok.

Peserta sedang menunaikan solat sunat dhuha

Slot kedua menyusul yang mengambil masa selama 1 jam 15 minit, berakhir pada jam 12.00 tengah hari. Slot kedua lebih menekankan aspek kesedaran tentang al-Quran dan juga memupuk rasa menghormati ibu bapa. Ia diikuti pula dengan slot kuiz yang melibatkan kedua-dua kumpulan. Beberapa soalan disediakan oleh para pembentang berdasarkan isi pembentangan yang telah diberikan semasa slot 1 dan 2.

 

Membaca doa makan sebelum makan tengah hari

Setelah selesai slot kuiz, kesemua peserta bersiap sedia untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah. Semasa sedang menunggu masuknya waktu solat zohor, mereka berada di dalam soff sambil beristighfar. Selesai solat zohor berjemaah dan solat sunat, peserta dihidangkan dengan makan tengah hari yang disumbangkan oleh pihak pengurusan Kelas Iqro’. Slot 3 menyusul bermula pada jam 2.30 petang sehingga jam 4.00 petang. Slot ini lebih menekankan kepada aspek menaikkan semangat para peserta bagi menghadapi pembelajaran sesi 2009. Slot ini juga dimuatkan dengan tayangan beberapa buah video yang mencakupi aspek-aspek solat, al-Quran dan menghormati ibu bapa yang telah ditekankan pada slot-slot sebelumnya. Ianya juga diselitkan dengan beberapa sesi kuiz.

Faiz Fuazi bersama-sama peserta semasa slot pertama

Selseai slot 3, peserta sekali lagi bersiap sedia bagi menunaikan solat fardhu. Sebelum solat asar berjemaah, peserta duduk lebih awal dan masing-masing menggunakan masa ini bagi beristighfar. Segalanya selesai pada pukul 4.50 petang dan bacaan mathurat menyusul. Setiap peserta dibekalkan dengan satu salinan wirid-wirid mathurat dan Ustaz al-Hadi bersama wakil-wakil PEMBINA lain membimbing para peserta untuk membacanya.

Para peserta sedang membaca mathurat

Sesi terakhir adalah ucapan penutup oleh pengerusi program, Ustaz al-Hadi disusuli dengan pemberian ole-ole kepada setiap peserta. Segalanya selesai pada jam 5.30 petang dan para peserta mula bergerak pulang selepas itu.

Sumbangan ole-ole kepada setiap peserta sebelum mereka pulang

Hairuladha Abdul Razak
019-6185960

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top