Masyarakat Kita: Satu Ekstrapolasi Sosial

Oleh:
Umar Hakim Mohd Tajuddin
Petroleum Economist
Dalam bidang matematik, ekstrapolasi ialah satu kaedah untuk membina data baru berdasarkan kepada satu set data yang telah diperolehi. Antara kegunaannya ialah utk membentuk unjuran berdasarkan trend yg ada di tangan lalu boleh digunakan sebagai asas untuk membuat anggaran yang diperlukan.

Kaedah yang sama boleh juga diaplikasi jika kita melihat kepada trend perubahan dalam masyarakat kita. Kita diberi tahu apa yang berlaku dulu, dan kita kini sedang mengalami apa yang berlaku sekarang. Berdasarkan dua set maklumat tersebut, kita boleh membuat satu unjuran yang berasas (walaupun tidak akademik dan saintifik) tentang bentuk masyarakat kita nanti pada masa hadapan.

Mari kita lihat satu aspek perubahan dalam masyarakat kita. Apakata kita teliti serba ringkas tentang perubahan dalam aspek hubungan antara kaum adam dan kaum hawa.

Suatu masa dahulu, lelaki dan perempuan yang muda remaja hidup dalam dunia yang diasingkan dan hampir tidak wujud ruang untuk mereka berinteraksi. Jika berselisih pun salah satu pihak akan menunduk dan jika bersapaan selalunya hanya sepatah dua sekadar mencukupkan keperluan. Sesiapa yang berani untuk berbuat lebih daripada itu, berjumpa sembunyi-sembunyi misalnya, jika diketahui pasti dianggap sebagai aib yang  besar kepada keluarga dan ada yang dihukum keras. Ibu-bapa pada ketika itu sangat cermat meneliti tindak-tinduk anak mereka terutamanya anak-anak gadis. Kita juga biasa mendengar cerita warga emas kita sekarang tentang bagaimana mereka dulu dijodohkan oleh orang tua, tidak pernah kenal pasangan sebelum berkahwin dan seumpama.

Masyarakat kita berubah sedikit tak lama selepas itu. Mungkin kerana faktor kemasukan budaya luar menerusi media hiburan yang mulai giat pada sekitar tahun 50-60an. Masyarakat kita juga turut terkesan apabila anak-anak muda sudah mula terikut-ikut mencuba berpacaran, walaupun masih segan-segan, dek terliur meniru amalan bangsa di barat yang dianggap serba sempurna  itu. Ini boleh dilihat  dalam filem-filem melayu kita pada sekitar tahun 60-70an yang memaparkan kegalakan watak dalam cerita tersebut bermain cinta, bernyanyian di tempat-tempat tersembunyi di malam hari, berdua-duaan dan sebagainya. Jika perkara ini masih dihormati sensitivitinya, tentunya babak-babak yang dilakonkan tidak diskripkan sebegitu rupa.

Keadaan tidak menjadi lebih baik setelah itu kerana gejala tersebut semakin membarah sehinggakan pelajar sekolah rendah pun sudah mula terbabit. Ini sudah boleh kita lihat pada sekitar pertengahan 90an. Baru-baru ini kita juga disajikan dengan satu iklan di kaca tv yang menunjukkan sepasang pelajar peringkat awal sekolah rendah yang ditemuramah. Antara soalan yang ditanya kepada pelajar perempuan cilik itu ialah tentang boyfriendnya lalu si cilik itu dengan spontan menunjukkan ke arah si budak laki di sebelahnya. Mungkin satu lakonan, tapi konsep boyfriend-girlfrien d nyata sudah ada dalam minda kanak-kanak kita seawal umur itu, biar apapun yang mereka faham tentangnya. Dan media kita bersungguh-sungguh pula untuk menerapkan konsep ini. Para ibu-bapa juga tidak kurang menjadi penyumbang kepada perkara ini apabila ramai yang ‘merestui’ amalan ini dan menerima mudah isu ini sebagai kerenah muda-mudi yang perlu dilayani. Ada yang kerisauan apabila mereka mendapati anak teruna mereka belum berpasangan lagi walaupun sudah berada di kolej. Yang berkerut dahi apabila diberitahu tentang muda-mudi yang berkahwin tanpa berkenal mesra terlebih dahulu pun tak kurang ramainya. Semestinya berbeza jauh berbanding generasi ibu bapa yang disebut di atas tadi.

Jika diperhatikan, seiring dengan trend berpasangan yang kian memburuk ini, masyarakat kita kian mula ‘terbiasa’ dengan peristiwa-peristiwa pembuangan bayi yang baru lahir. Fenomena ini pastinya tidak akan muncul sendiri dengan tiba-tiba. Semestinya hal ini berpucuk pangkal daripada bebasnya belia lelaki dan perempuan bercampur-gaul tanpa batas ditambah pula dengan silibus cuba-cuba mereka yang semakin bertambah dari hari ke hari.

Jadi, rasa-rasanya bagaimanakah agaknya masyarakat kita dalam 10 tahun akan datang jika kita perhatikan perubahan yang dipaparkan ini? Dahulu kita begitu, kini kita begini, ke depan nanti apakah agaknya rupa orang kita? Apakata kita tinjau apa yang telah berlaku kepada bangsa barat yang sebahagian kita masih lagi anggap sebagai serba sempurna itu.

Di Wales, 53.5% dari jumlah kelahiran pada tahun lepas berlaku di luar pernikahan. Bahkan, bilangan kelahiran luar nikah yang melebihi separuh jumlah kelahiran ini sudahpun bermula sejak tahun 2000. Di seluruh UK pula, kadar kelahiran luar nikah meningkat dengan mendadak daripada 12 % kepada 41% hanya dalam masa 10 tahun kebelakangan ini. Sudah pasti mereka yang sudah berpangkat nenek dan datuk di UK hari ini tidak terbayang pun cucu-cucu mereka akan mencatat rekod-rekod sebegini sedangkan mereka dahulu ketika muda hanya berutus surat bermadah pujangga sahaja.

Menggusarkan? Silakan.

Tidak mustahil bencana sosial yang melanda negara hebat itu tidak akan berlaku di sini jika setiap anak tangga yang membawa kepada noktah hitam itu diikuti dengan penuh ‘iltizam’. Mungkin tak lama lagi kita akan naik setangga lagi lalu menjadi setangga lebih hampir kepada apa yang mereka hadapi kini. Apakah pula fenomena-fenomena baru yang terpaksa kita telan jika barah sosial ini tidak dibendung dengan usaha-usaha sewajarnya? Adakah kita mampu mengubati gejala ini dengan hanya menggeleng-geleng kepala dan kemudian pantas kita lupakan sepantas tangan kita menyelak akhbar ke helaian seterusnya?

Ayuh wahai orang muda. Bola kini dalam gelanggang kita. Ekstrapolasi ini hanyalah satu bentuk unjuran, bukan sesuatu yang sudah pasti. Tetapi dengan satu syarat -kita sama-sama membina usaha untuk mengekangnya lalu mencipta titik pusingan supaya ekstrapolasi ini berubah ke arah positif.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top