Mitos Kepimpinan

Memahami Mitos-mitos Kepimpinan; Siri-1

Kepimpinan adalah satu sifat yang lahir hasil daripada latihan dan didikan yang secukupnya terhadap individu. Pandangan umum mengatakan sesetengah individu sahaja yang dilahirkan dengan sifat kepimpinan semulajadi. Tidak dapat dinafikan bahawa kebenaran perkara tersebut. Namun, kemahiran semulajadi sekiranya tidak diasah dan digarap dengan baik ianya akan luput begitu sahaja. Tambahan pula, beberapa mitos tentang kepimpinan turut wujud dalam minda masyarakat umum yang menyebabkan masing-masing mengelakkan diri daripada bertindak sebagai pemimpin.

John C. Maxwell, dalam bukunya 360 Leaders menggariskan 7 Mitos tentang kepimpinan yang menjadi batu penghalang kepada setiap individu daripada bertindak sebagai seorang pemimpin.

Mitos-mitos tersebut adalah:

1. Mitos Posisi

2. Mitos Destinasi

3. Mitos Pengaruh

4. Mitos Pengalaman

5. Mitos Kebebasan

6. Mitos Potensi

7. Mitos Semua atau Tiada

Mari kita lihat tiga mitos yang pertama; 1) Mitos Posisi; 2) Mitos Destinasi; dan 3) Mitos Pengaruh

1. Mitos Posisi: Saya tidak mungkin menjadi pemimpin melainkan saya diberi jawatan tertinggi

Ramai orang berpandangan kemahiran kepimpinan adalah kemahiran yang perlu dikuasai mereka sekiranya mereka diberikan jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi. Pandangan mereka ini ada benarnya. Namun, pemimpin yang sebenar adalah mereka yang melaksanakan sifat-sifat kepimpinan pada bila-bila masa tanpa memerlukan diri mereka diberikan jawatan.

Contoh yang boleh diambil daripada sejarah para panglima perang Islam zaman dahulu adalah semasa Peperangan Yarmuk. Pada asalnya Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a telah melantik Khalid bin al-Walid sebagai panglima yang memimpin batalion umat Islam. Semasa peperangan berlansung Saidina Abu Bakar r.a. telah meninggal dunia dan digantikan dengan Saidina Umar al-Khottob. Beliau telah mengarahkan Abu Ubaidah al-Jarrah menggantikan tempat Khalid sebagai Panglima perang.

Khalid menerima keputusan tersebut dengan dada terbuka. Namun apabila ditanya oleh beberapa sahabat mengapa beliau tidak menanggalkan pakaian panglima perang, Khalid bin al-Walid menegaskan “Sesungguhnya aku berperang kerana Allah, bukan kerana Umar.”

Contoh yang jelas iaitu Khalid faham akan tanggungjawab beliau untuk berperang kerana Allah. Tidak semata-mata jawatan yang telah diberikan. Dikhabarkan beliau terus berperang dengan semangat juang yang tinggi, sehinggakan ramai sahabat yang dimotivasi oleh tindakan beliau yang tidak sedikit pun lemah walau dilucutkan jawatan daripada menjadi Panglima Perang. Bahkan, beliau menyokong pemimpin barunya, Abu Ubaidah al-Jarrah sehingga umat Islam berjaya Menewaskan musuh dalam Peperangan Yarmuk.

Maka, posisi ataupun jawatan bukanlah faktor yang membantutkan daya upaya seseorang daripada menjadi pemimpin. Pemimpin yang baik adalah mereka yang mampu melaksanakan tugas kepimpinan walau mereka berada dalam posisi apa sekalipun.

2. Mitos Destinasi: Bila saya sudah sampai di jawatan yang tertinggi barulah saya akan belajar untuk memimpin.

Ramai orang berpendapat tidak perlu belajar kemahiran-kemahiran yang tidak menyumbang kepada kehidupan mereka, tidak terkecuali kemahiran kepimpinan. Masih kurang yang jelas dengan hakikat sebenar seseorang itu layak menjadi pemimpin tatkala mereka mula belajar tentang kepimpinan dan mengamalkan ilmu kepimpinan mereka dalam kehidupan seharian. Apakah yang membuatkan seseorang layak menjadi pemimpin melainkan dirinya telah diiktiraf oleh ramai orang? Bukankah ciri-ciri kepimpinan itu adalah sesuatu yang dipraktikkan lalu menjadi bukti individu tersebut adalah layak untuk menjadi pemimpin?

Abraham Lincoln tidak melatih dirinya menjadi pendengar yang baik dan tidak mudah melatah ataupun mengkritik pandangan orang lain saat dia telah menjejakkan kaki ke White House. Namun, sikap yang beliau latih itu melaykkan dia menjadi seorang pemimpin.

3. Mitos Pengaruh: Saya hanya ada pengaruh bila saya telah menjawat jawatan yang tertinggi.

Tidak dapat tidak seorang pemimpin adalah mereka yang mempunyai pengaruh terhadap orang yang dipimpinnya. Dengan pengaruh mereka mampu mengarahkan orang-orang yang dipimpin untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan atau tanggungjawab. Pengaruh bukanlah perkara yang diperoleh dengan mudah. Tidak semata-mata diberikan kepada mereka yagn diberikan satu jawatan kepimpinan dan sesebuah organisasi dan juga masyarakat. Pengaruh diperoleh hasil daripada kredibiliti seseorang individu, diperoleh hasil daripada rasa hornat daripada mereka yagn dipimpin. Melalui tindakan, tutur kata dan perilaku seseorang pemimpin maka individu-individu yang dipimpin akan memberikan rasa hormat mereka kepada pemimpin tersebut.

Melihat kepada bagaimana Nabi Muhammad S.A.W. sebelum di angkat sebagai rasul lagi telah mempunyai pengaruh yang amat besar dalam kalangan masyarakat Quraish. Peristiwa nabi meletakkan semula batu ke hajar al-Aswad merupakan bukti betapa besarnya pengaruh beliau semasa itu. Begitu juga Dr. Martin Luther King yang tidak menjawat apa-apa jawatan dalam kabinet menteri. Pengaruh beliau cukup besar untuk menarik perhatian masyarakat Amerika dan juga masyarakat dunia untuk menilai semula sikap prejudis orang kulit putih terhadap penduduk Amerika Syarikat yang berkulit gelap. Akhirnya, perjuangan beliau membawa kepada pelantikan Barack Obama sebagai Presiden berkulit gelap yang pertama dalam sejarah Amerika Syarikat.

Boleh disimpulkan di sini pemimpin yang berpengaruh bukanlah semata-mata kerana mereka dilantik menjawat jawatan sebagai pemimpin. Bahkan, pengaruh mereka adalah hasil daripada tindakan, tutur kata dan tingkah laku mereka. Orang-orang di sekeliling mereka memberikan rasa hormat kepada pemimpin tersebut kerana diri mereka, bukan kerana jawatan mereka. Oleh itu, tidak semestinya tanpa jawatan seseorang individu tidak mungkin berpengaruh yang melayakkannya menjawat jawatan pemimpin.

Daripada 3 mitos yang disebutkan di atas kita dapat fahami bahawa;

  • Sifat kepemimpinan bukan lahir daripada jawatan yang diberikan, bahkan lahir daripada inisiatif yang diambil oleh individu tersebut untuk menerapkan sifat-sifat kepimpinan dalam diri.
  • Penerapan kepada sifat kepemimpinan bukanlah diterapkan setelah menjawat sesebuah jawatan, namun sifat kepemimpinan ini diterapkan seawal usia muda dan membentuk peribadi pemimpin yang berwibawa
  • Pengaruh seseorang pemimpin bergantung kepada bagaimana mereka mengambil tindakan, menutur kata-kata dan membuat tingkah laku yang mengundang rasa hormat orang lain kepada mereka.

Dengan menolak ketiga-tiga mitos di atas, tiada alasan lagi untuk seseorang mengelak daripada menjadi pemimpin dalam hidup mereka. Semoga kita bertemu lagi dalam siri-siri yang akan datang!

 

Iqbal Hakim bin Abdul Razak
JK Latihan & Kepimpinan

Scroll to Top