Oleh Muhamad Razak Idris, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Barangkali ramai dari kalangan kita yang tidak menyedari iaitu Kesultanan Melayu Melaka telah jatuh dari putaran kekuasaan peradaban selama 500 tahun pada tahun ini. Menurut catatan sejarah, penjajah Portugis telah menewaskan kerajaan Melaka pada 1511 dan terus menguasai empayar ini selama 100 tahun kemudiannya.
Baru-baru ini, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah menganjurkan satu konvensyen bagi memperingati 500 tahun kejatuhan Melaka bertempat di Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Saya menyertai majlis penting ini sebagai salah seorang ahli panel.
Antara pembentang utama konvensyen ini ialah Dato’ Dr Hassan Ahmad. Beliau ialah seorang yang tidak asing lagi di negara kita dari segi kedalaman ilmu berkaitan susur galur peradaban umat Melayu dan Islam di rantau ini. Kertas kerja beliau bertajuk “Kejatuhan Melaka Sebagai Pelajaran Penting Untuk Bangsa Melayu-Islam Hari Ini” mustahak untuk dikongsi.
Sebagai umat Melayu, kita harus menyedari iaitu Kesultanan Melayu-Islam Melaka sebelum kejatuhannya ialah sebuah peradaban yang besar dan kuat. Pada zaman tersebut, Melaka bersama-sama dengan beberapa kesultanan Melayu-Islam yang lain seperti kerajaan Samudera-Pasai, kerajaan Aceh Darussalam dan kerajaan di sebelah timur Selat Melaka meliputi kepulauan Maluku, Ternate dan Mengkasar. Kesemua kesultanan ini adalah tonggak-tonggak yang telah membangunkan peradaban Melayu-Islam di rantau nusantara menjadi sebuah empayar yang amat kuat.
Kedudukan dan peranan Melaka pada ketika ini amat penting sekali. Di dalam tulisan seorang pencatat diari bangsa Portugis bernama Tome Pires, beliau menyatakan “barangsiapa dapat menguasai pelabuhan Melaka mereka akan dapat mencekik leher Venice”. Gambaran yang meletakkan kepentingan Melaka sejajar dengan Venice, sebuah kota perdagangan di Eropah menjelaskan dengan pengaruh dan peranannya di dalam dunia antarabangsa pada waktu tersebut dan kekuasan peradabannya. Menurut Dr Hassan, “Melaka tidak sahaja merupakan pusat perdagangan dan pusat kuasa politik Melayu di seluruh rantau ini, tetapi juga merupakan pusat perkembangan Islam dan bahasa Melayu yang berpengaruh dan digeruni oleh kerajaan-kerajaan Melayu yang lain, termasuk juga kerajaan Majapahit Jawa’.
Kisah tentang kekuasaan peradaban Melayu-Islam Melaka ini bukanlah suatu yang direka-reka. Ramai lagi pengkaji dan penulis mencatatkan keadaan yang serupa apabila menggambarkan keadaan kesultanan ini sebelum kejatuhannya. Apakah faktor atau ciri-ciri kesultanan ini sehingga menjadikannya sebuah peradaban yang kuat? Ini adalah antara aspek dan persolan yang menarik yang perlu ditelusuri di dalam kita mengenang kesultanan Melaka.
Di dalam beberapa bacaan, saya menemui beberapa ciri-ciri berikut yang telah membawa kepada kemajuan peradaban Melaka. Ciri-ciri ini boleh juga dianggap sebagai antara jatidiri utama umat Melayu-Islam di era kesultanan Melaka.
Ciri pertama ialah kesultanan Melaka dianggotai oleh masyarakat berpedagangan. Pedangangan di Melaka kebanyakkan tertumpu pada aktiviti pelautan. Pedagang dari sebelah timur dan barat menjadikan Melaka sebagai pengkalan perniagaan sehingga menjadikan pelabuhan Melaka begitu rancak dan strategik. Keadaan ini tentu sekali menyumbang kepada sumber pendapatan kesultanan dan menggiatkan kegiatan import dan eksport kerajaan serta pembangunan ekonomi tempatan.
Jatidiri keperdagangan masyarakat Melayu Melaka pada waktu tersebut terserlah sebagaimana tergambar di dalam Undang-undang Laut Melaka. Dalam kata lain, satu peraturan khusus telah diwujudkan oleh pihak kesultanan bagi memastikan urusniaga dan perdagangan di bidang perlautan ini terus berkembang sejajar dengan aturan yang telus dan adil.
Ciri kedua kesultanan Melaka sifat majmuk masyarakatnya. Dalam istilah sekarang, ia dikenal sebagai masyarakat plural. Para penduduk Melaka bukan hanya terdiri dari kalangan orang-orang Melayu sahaja malah dari pelbagai keturunan dan bangsa. Dalam satu catatan dinyatakan iaitu terdapat 84 bahasa asing digunakan di semasa keagungan kerajaan Melaka. Namun bahasa Melayu adalah bahasa pengantara utama. Dikatakan juga iaitu penduduk Melaka terdiri dari kalangan orang Gujerat, Benggali, Keling dan Tamil serta Arab dan Parsi.
Keadaan masyarakat yang bersifat majmuk ini adalah gambaran jiwa dan minda masyarakat Melayu-Islam Melaka pada waktu itu yang bersifat terbuka atau berminda sejagat. Realiti kemajmukan ini tidak mungkin mampu bertahan sekiranya kelompok terasnya iaitu masyarakat Melayu-Islam tidak menganut faham kemajmukan masyarakat. Sekiranya masyarakat Melayu-Islam Melaka pada waktu berwatak tertutup, tentu sekali Melaka tidak mampu menjadi sebuah peradaban yang bersifat global dan terkenal.
Selain dua ciri tersebut, ciri terpenting lain ialah masyarakat Melayu-Islam Melaka adalah umat yang hidup bersendikan hukum. Hal ini tergambar di dalam penggubalan Undang-undang Melaka yang mengandungi segala aspek peraturan dan perundangan mengawal pergerakan masyarakat. Sekiranya kita telusuri Undang-undang Melaka, ia meliputi hukum perlembagaan, jenayah, pertanian, laut, sosial dan bahasa.
Ciri ini memainkan peranan yang amat bermakna di dalam mewujudkan ketenteraman di dalam masyarakat dan menimbulkan keyakinan seluruh masyarakat samada di peringkat tempatan atau luar negara untuk menjadikan Melaka sebagai pusat segala urusan kehidupan. Keyakinan terhadap sistem perundangan yang telus, adil dan bebas mengundang kedatangan pelaburan yang meluas ke Melaka dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi pula.
Jatidiri masyarakat yang bersendikan hukum telah menyumbang kepada pengwujudan tatakelola kerajaan yang cekap dan menyakinkan. Penguatkuasaan undang-undang yang telus oleh shahbandar meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keamanan. Dasar percukaian dan ekonomi juga dikatakan adil dan terbuka. Tidak wujud monopoli berleluasa sehingga menyekat peluang perniagaan oleh sesiapa sahaja yang berkemampuan.
Inilah antara beberapa ciri dan jatidiri umat Melayu-Islam Melaka semasa di era keagungan peradabannya. Ternyata, banyak sekali faktor yang saling berkait yang membawa kepada kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara dan peradaban. Pembangunan sesebuah peradaban tidak hanya disumbangkan oleh hanya satu faktor seperti ekonomi sahaja namun mencakupi keutuhan sistem perundangan, budaya hidup masyarakat dan keterbukaan serta kematangan fikiran dan jiwa masyarakat di dalam memanafaatkan segala sumber di persekitaran bagi tujuan kebaikan.
Pengalaman sejarah ini harus dipelajari dan diinsafi oleh kita semua di dalam rangka kita membangunkan peradaban Malaysia yang dihormati pada masa hadapan. Antara petunjuk penting ialah tuntutan untuk kita membina negara kita berteraskan prinsip hidup sebuah masyarakat madani atau bertamadun. Tatakelola kehidupan dan pemerintahan yang bertentangan dengan prinsip hidup masyarakat madani pasti akan membawa keruntuhan sesebuah kerajaan dan peradaban. Dan inilah antara pengajaran terpenting yang membawa kepada kejatuhan peradaban Melaka sekiranya ditelusuri punca-punca yang membawa kepada kekalahannya 500 tahun yang lalu.
Di dalam kaitan ini, ia tentu menuntut kita untuk membangunkan tonggak-tonggak masyarakat madani meliputi agama, budaya, bahasa dan perundangannya. Inilah cabaran dan tanggungjawab terbesar kita sebagai umat Melayu-Islam hari ini. Agenda besar ini memerlukan kita semua selaku umat Melayu-Islam di negara ini meningkatkan persefahaman dan terus menjayakan usaha pembaharuan dan pembaikan tamadun. Usaha dakwah ini sering dirujuk di dalam diskusi pemikiran Islam sebagai menjayakan tajdid hadhari.
Sumber : Laman Sesawang